Penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2016 yang memasuki edisi kedua patut diteruskan pada masa hadapan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat negara ini menjadikan aktiviti sukan sebagai satu riadah.

Namun beberapa pemenang pingat Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Rio de Janeiro berharap lebih banyak pengisian program diwujudkan bagi menarik lebih banyak penyertaan pada masa hadapan.

Pelari pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang dikenali dengan panggilan 'Dikwan', mengakui amat teruja dengan kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu bergambar bersama atlet negara.

"Saya lihat orang ramai berpusu-pusu bergambar bersama atlet dan berharap ini akan menjadi perangsang untuk mereka meneruskan aktiviti bersukan bukan disebabkan pengaruh atlet itu sendiri tetapi tarikan yang ada pada sambutan kali ini.

"Bagi saya, penganjuran HSN perlu lebih diperkasakan supaya masyarakat di negara ini didedahkan dengan kepentingan bersukan bagi menjaga kesihatan diri," kata Mohamad Ridzuan yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio dalam acara 100m kategori T36 (celebral palsy).

Berkongsi pandangan sama adalah jaguh berbasikal trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang yang berharap sambutan HSN dapat ditambah baik pada masa akan datang.

"Saya lihat sambutan tahun ini amat meriah kerana hampir 7 juta orang di seluruh negara termasuk di sini menyambutnya dan saya harap acara ini dapat diteruskan sambil ditambah baik dari segi pengisian program bagi menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.

"Bagi saya, HSN merupakan antara medium terbaik untuk menggalakkan aktiviti sukan bukan sebab pertandingan tapi demi mengekalkan kesihatan tubuh badan," jelas Mohd Azizulhasni yang meraih pingat gangsa dalam acara keirin di Sukan Olimpik Rio.

Pemain badminton negara Goh V Shem pula bangga melihat pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, menyertai sambutan kali ini.

"Saya amat bersetuju sekiranya lebih banyak program dipelbagaikan pada masa depan bagi menarik minat orang ramai menjadikan sukan sebagai satu aktiviti harian mereka," kata Goh yang meraih pingat perak bersama Tan Wee Kiong dalam acara beregu lelaki Sukan Olimpik Rio.

-Bernama