"Ketika beraksi di Paralimpik Rio, saya langsung tak fikir soal ganjaran yang akan diterima sekiranya saya berjaya memenangi pingat. Saya hanya berikan tumpuan kepada acara yang disertai sahaja".

Itulah kata-kata Muhammad Ziyad Zolkefli ketika mengimbau kembali saat manis mencipta rekod dunia temasya Paralimpik Rio 2016 dengan meraih pingat emas acara Lontar Peluru kategori F20‎, September lalu.

"Saya hanya fikir mahu dapatkan sesuatu (pingat) untuk kejayaan diri saya selain membanggakan keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.

"Apabila melihat jumlah ganjaran yang diterima saya bersyukur dan ini adalah rezeki sempena perkahwinan saya tidak lama lagi.

"Saya berharap dengan ganjaran diterima ini juga dapat menjadi memberi dorongan kepada rakan-rakan kurang upaya (OKU) yang lain untuk menjadikan sukan sebagai kerjaya,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Muhammad Ziyad dan pemenangan pingat emas acara lompat jauh, Abdul Latiff Romly muncul penerima tertinggi Shakam dengan jumlah RM1.05 juta disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketika ditanya mengenai perancangannya dengan jumlah ganjaran yang diterima itu, Muhammad Ziyad berkata dia mahu membawa kedua-dua ibu bapanya pergi menunaikan ibadah haji selain membina sebuah rumah untuk mereka.

"Sejumlah duit akan saya peruntukkan untuk disimpan ke dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera).

"Selain itu saya mahu bawa ibu dan ayah saya pergi menunaikan ibadah haji dan membina sebuah rumah untuk mereka,” katanya lagi.

Selain memenangi pingat emas, Muhammad Ziyad dan Adul Latiff turut mencipta rekod baru kejohanan dan rekod baru dunia dalam acara masing-masing iaitu Lompat Jauh dan Lontar Peluru kategori F20 yang turut membolehkan mereka menerima imbuhan tambahan.

Seorang lagi pemenang pingat emas acara 100 meter T36, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menerima RM1.02 juta yang turut menyaksikan atlet kelahiran Perlis itu menerima insentif tambahan selepas berjaya memperbaharui rekod Paralimpik.