Tiga perlawanan persahabatan dilalui skuad bola sepak kebangsaan semakin memperlihatkan peningkatan positif walaupun masih ada kelemahan perlu diperbaiki sebelum sepak mula Piala AFF Suzuki 2016 November nanti.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B Sathianathan, seseorang jurulatih tidak akan tonjolkan taktikalnya kepada pihak lawan sebelum perlawanan sebenar bermula.

Bagaimanapun, katanya, prestasi anak buah Datuk Ong Kim Swee kini semakin menunjukkan peningkatan positif khususnya selepas tiga perlawanan persahabatan berdepan Indonesia, Singapura dan Afghanistan.

"Untuk persediaan Piala AFF Suzuki, seorang jurulatih tidak akan tunjuk kepada lawan kita punya taktikal. Dia kena simpan rahsia-rahsia (taktikal).

"Tetapi apa yang positif saya nampak pemain negara semakin mendapat keyakinan, dapat mengawal bola dan memberi tekanan terhadap pihak lawan.

"Walaupun awal permainan berdepan Afghanistan nampak kurang baik, kelemahan itu dapat dibaiki dengan cepat. Saya nampak Kim Swee perbetulkan keadaan itu," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sebagai bekas jurulatih kebangsaan Sathinathan berkata, pemain-pemain yang diturunkan Kim Swee dilihat sudah memberi komitmen yang baik dan menunjukkan kemahuan untuk beraksi.

"Kita tahu Afghanistan pasukan yang kuat jika dibandingkan dengan Singapura. Apa yang positif saya nampak pemain dapat ramapas bola, melakukan pergerakan ke arah gol lawan.

"Cuma masalah kita adalah kombinasi belum berkesan ketika bola dalam kotak penalti untuk menghasilkan gol," katanya.

Pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Shah Alam malam tadi, Harimau Malaysia berjaya mengikat Afghanistan untuk keputusan seri 1-1.

Terdahulu, skuad negara tewas 0-3 berdepan Indonesia dan seri tanpa jaringan menentang pasukan Singapura.

Sementara itu, Sathianathan juga menyatakan keyakinannya terhadap barisan pemain yang ada dilihat dapat memberi cabaran kepada pasukan lain pada aksi Piala AFF Suzuki.

"Kita sudah kesuntukan masa, pemain yang dipanggil Kim Swee ini adalah pemain yang menyahut cabaran dan ada kemahuan untuk mewakili negara," ujarnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar selaku tuan rumah, manakala kumpulan A dihuni Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura untuk berentap pada 19 November hingga 17 Disember ini.