Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) akan memperkenalkan semula kejohanan liga di Lembah Klang tahun depan selepas ia diberhentikan sejak 10 tahun lepas.

SRAM dengan penaja utama, OHANA Communications, telah menghidupkan semula liga tersebut dengan sasaran antara 50 dan 70 pasukan daripada kelab swasta, universiti, kolej dan sekolah.

Presiden SRAM, Huang Ying How berkata kewujudan semula liga itu penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai sukan itu dalam kalangan rakyat serta menyediakan platform bagi pemain sosial bersaing dalam susana kompetitif.

"Kami akan cuba menjadikan kejohanan ini bermula Januari depan sebagai liga berprestij," katanya pada majlis pelancaran liga tersebut, di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pengarah SRAM, Mejar (B) S. Maniam berkata terdapat keperluan untuk menambah bilangan pemain serta platform untuk mencungkil bakat baharu.

Katanya, liga tersebut adalah terbuka untuk semua pasukan tanpa mengira gender atau umur.

Menurut format liga, setiap divisyen akan mempunyai lapan pasukan dengan setiap pasukan dibenarkan mendaftar enam pemain termasuk seorang pemain kebangsaan.

Bagaimanapun, hanya tiga pemain dibenarkan beraksi dalam satu-satu perlawanan.

Setiap pasukan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak RM300 dan tarikh tutup pendaftaran ialah sebelum 15 Dis ini. Maklumat lanjut mengenai liga tersebut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.malaysia-squash.org.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS