Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Ada kerisauan tentunya di kalangan penyokong bola sepak Kelantan susulan penaja utama skuad The Red Warriors (TRW), Datuk Seri Hasmiza Othman didakwa di mahkamah, semalam.

Pelbagai komentar menyusul di laman sosial khususnya kebimbangan mereka terhadap nasib pasukan bola sepak itu berikutan 'ujian' yang dihadapi pemilik syarikat penaja utama Vida Beauty Sdn Bhd.

Hasmiza atau dikenali juga sebagai Vida, didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Sebelum ini juga ada laporan mengatakan Hasmiza serik untuk meneruskan penajaannya dengan alasan pelaburan melalui TRW itu tidak menguntungkan syarikatnya.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) Mahizi Mahmood menyifatkan, sebagai penyokong mereka turut terasa tempias terhadap apa yang berlaku ke atas Hasmiza.

Bagaimanapun pihaknya percaya jutawan kosmetik itu bijak untuk menangani permasalahan tersebut.

"Ia mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada penajaan. Namun kita percaya Vida bijak menangani permasalahan sebegini.

"Kita berharap Datuk Seri Hasmiza sentiasa tabah dan kita tahu beliau bukan seorang yang mudah patah semangat. Kecekalan beliau menangani masalah amat kita kagumi," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Vida beauty yang popular dengan produk Qu Puteh tampil menjadi syarikat kosmetik pertama yang berani menaja sukan bola sepak melalui pasukan Kelantan pada awal tahun ini dengan nilai tajaan RM16 juta untuk musim 2016 dan 2017.

Mahizi berkata, susulan pendakwaan ke atas Hasmiza, penyokong TRW berharap perkara tersebut dapat diselesaikan sebaik mungkin.

"Mungkin ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita semua terutama Hasmiza sendiri, namun kita tetap menaruh kepercayaan penuh beliau mampu menanganinya dengan baik.

"Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau dan semoga beliau akan terus berjaya. Anggaplah ini sebahagian daripada lumrah kehidupan," katanya.

Lihat Komen
ADS