Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Selangor diingatkan gol di tempat lawan T-Team
Diterbitkan:  Oct 15, 2016 2:59 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Skuad bola sepak Selangor diminta tidak mengambil mudah kelebihan gol di tempat lawan yang dimiliki pasukan T-Team, kata pengurusnya Amirudin Shari.

Bagi mengharungi ‎cabaran perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia malam ini, katanya, bukan laluan mudah akan dihadapi The Red Giant.

‎"Cabaran yang bukan mudah saya rasa, mereka (T-Team) ada gol ditempat lawan pada perlawanan yang lepas. Jadi kita kena berhati-hati, tetapi tidak boleh terlalu defensif.

"Sebab gol ditempat lawan itu sangat berharga tapi saya percaya kita akan cuba dapatkan gol yang awal di samping memastikan kita berjuang habis-habisan untuk layak ke final," katanya kepada Malaysiakini selepas merasmikan Pertandingan Badan Cantik Mr Gombak di Prima Sri Gombak, hari ini.

Amirudin berkata, ‎setiap pemain yang diturunkan pada aksi itu perlu memberi komitmen sepenuhnya untuk meneruskan kecemerlangan Selangor musim lalu.

Menurut beliau, skuad Selangor diingatkan supaya memperkemaskan setiap posisi untuk mengatasi keupayan lawan sekali gus meraih kemenangan berharga.

"Saya ingat barisan tengah terutamanya dan barisan pertahanan perlu lebih kemas, manakala jentera tengah perlu lebih cepat dalam menguasai bola.

"Pada masa sama, kombinasi jentera serangan perlu ambil peluang yang terbuka untuk menjaringkan gol," jelasnya.

Sementara itu, ditanya sebarang habuan bakal diberikan sekiranya anak buah K Gunalan layak ke final beliau bagaimanapun memilih untuk berahsia.

"Itu antara saya dan pemain, kita akan selesaikan bila kita layak memang ada sesuatu tambahan (ganjaran), tapi saya takkan umumkan sekarang.

"Saya kena pastikan dahulu ia dilaksanakan. Insya-Allah Selangor tak pernah gagal untuk melaksanakan tanggungjawab kita, kita akan cuba yang terbaik," katanya yang juga Exco Sukan Selangor.

Selangor selaku juara bertahan membawa bekalan kemenangan 2-1 pada aksi di Stadium Shah Alam 1 Oktober lalu.

Lihat Komen
ADS