Disiplin pertahanan yang tinggi dalam diri pemain Kedah merupakan antara faktor utama membawa pasukan itu ke final Piala Malaysia musim ini, kata Ketua Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe.

Beliau berkata ramai pihak termasuk penyokong meluahkan kerisauan terhadap disiplin pertahanan pasukan Lang Merah itu sebelum ini, namun keberkesanan mengekang serangan PDRM pada perlawanan malam tadi membuktikan disiplin pertahanan pasukan itu berada pada tahap tertinggi.

"Kita agak risau kerana babak pertama ada satu dua peluang namun kita tidak dapat jaringkan gol, tetapi apa yang penting pemain bekerja begitu baik dapat menepis serangan PDRM.

"Saya harap final nanti kekalkan keyakinan yang tinggi bagi mengukuh disiplin pertahanan kita," katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Krubong di Melaka malam tadi.

Dalam perlawanan itu, PDRM hanya mampu seri 0-0, memberikan laluan Kedah layak ke final Piala Malaysia dengan agregat 2-1 untuk bertemu Selangor yang menewaskan T-Team dengan agregat 5-1.

Ditanya tentang perlawanan final nanti, Tan berkata jentera serangan Kedah dibarisi pemain seperti Thiago Augusto Fernandes dan Baddrol Bakhtiar diharap dapat memberikan persembahan terbaik pada perlawanan itu.

"Bukan mudah bermain dengan Selangor kerana mereka dapat lebih daripada kita (menang Piala Malaysia lebih daripada Kedah) yang penting kita dapat main ke final dengan keyakinan dan nikmati (perlawanan itu).

"Saya perlu fikirkan (taktikal dan barisan pemain) dalam tempoh sekitar dua minggu ini, orang kata kita nak balas dendam tetapi yang penting pemain ada keyakinan untuk turun ke gelanggang," katanya.

Ketua Jurulatih PDRM Fauzi Pilus berkata walaupun tersingkir, beliau berbangga dengan usaha keras anak buahnya sehingga berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

"Selepas ini kita ada satu lagi perlawanan penting tidak dinafikan dan kita mahu buat yang terbaik dalam perlawanan itu," katanya.

PDRM bakal bertemu Sarawak di Stadium Negeri Sarawak pada perlawanan Liga Super 22 Okt ini dan perlawanan itu penting kerana dua pasukan itu merupakan antara lima pasukan yang boleh tersingkir ke Liga Perdana sekiranya keputusan perlawanan tidak berpihak kepada mereka.

- Bernama