Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Henderson mahu lunaskan dendam pada Mourinho
Diterbitkan:  Oct 17, 2016 12:26 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Masih segar dalam ingatan kapten Liverpool, Jordan Henderson bagaimana Jose Mourinho membimbing Chelsea meranapkan peluang The Kop untuk meraih gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pada musim 2013-14, Chelsea berkunjung Anfield dan mencatat kemenangan 2-0 dalam perlawanan yang turut menyaksikan kesilapan kapten The Reds ketika itu, Steven Gerrard.

Manakala Henderson tidak beraksi kerana penggantungan.

Tewas kepada Chelsea membuatkan Liverpool, yang saat itu dilatih oleh Brendan Rodgers, akhirnya gagal meraih kejuaraan EPL dan mengakhiri musim dengan dua mata di belakang juara, Manchester City.

Justeru menjelang pertemuan berdepan manchester United (Man U) awal pagi nanti, Henderson menyatakan hasratnya mahu melunasi dendam terhadap kepada Mourinho.

"Saya tidak akan lupakan perlawanan berdepan Chelsea di Anfield ketika kami kehilangan mata terakhir dengan kegagalan meraih gelaran," kata Henderson seperti dilaporkan media United Kingdom.

"Sukar bagi kami menghadapinya. Kami berada di kemuncak saingan dan mereka bermain dengan perlahan. Strategi bijak daripada jose Mourinho.

"Akhirnya, tuah memihak kepada Chelsea dan mereka mendapat hasil yang disasarkan. Situasi itu merupakan kesan besar terhadap pemburuan gelaran. Jadi saya tidak akan melupakannya," kata Henderson.

Sementara itu, pemain tengah berusia 26 tahun itu tetap melemparkan pujian terhadap strategi dan taktikal Mourinho.

"Itu taktikal yang amat baik dari Jose (Mourinho). Dia jurulatih hebat, pengurus kelas dunia dan membuktikan (diri) dalam setiap kelab yang dikendalikan," katanya.

Setakat ini berdasarkan rekod Transfermarkt, Liverpool dan Man U sudah 90 kali berdepan dalam pelbagai kejohanan.

Melalui 90 perlawanan dengan Man U, Liverpool meraih 27 kemenangan, 23 seri dan 40 kekalahan.

Kali terakhir kedua-dua kelab gergasi England itu bertemu pada saingan Piala Europah lalu menyaksikan Liverpool menang 3-1 secara agregat.

Lihat Komen
ADS