Mampukah JDT menang tanpa tonggak utama?
Penyandang juara Piala AFC terpaksa turun sebagai pasukan 'underdog' berdepan cabaran kelab dari India, Bengaluru FB pada aksi separuh akhir kedua kejohanan itu, malam ini.
Dengan beraksi di gelanggang lawan, skuad bimbingan Mario Gomez itu juga terpaksa melupakan dua penyerang handalan iaitu Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz.
Kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan susulan dilayangkan kad kuning pada aksi separuh akhir pertama di Larkin pada 28 September lalu.
Keputusan seri 1-1 pada pertemuan pertama itu sekali gus memberi kelebihan kepada Bengaluru FC dengan bekalan satu gol di tempat lawan.
Selain itu, penyerang veteran skuad Harimau Selatan, Amri Yahyah turut digantung turut menyukarkan laluan JDT untuk mara ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut, lapor ESPN FC.
Mahu atau tidak, juara Liga Super itu tetap perlu bersedia untuk mengharungi perlawanan dengan misi mempertahankan kejuaraan musim lalu. Atau bakal leburkah rekod tanpa kalah mereka sepanjang musim ini di kaki pemain Bengaluru FC?
Beberapa pemain dilihat nekad untuk memberi persembahan terbaik dan bersedia untuk menghadapi ujian terbesar mereka pada musim ini.
Salah seorang pemain yang dilaporkan cukup bersemangat untuk aksi malam ini ialah pemain antarabangsa Malaysia, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.
"Saya bersedia untuk diturunkan bagi membantu pasukan mencapai kemenangan. Saya akan membuktikan kepada pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan bahawa mereka telah membuat pilihan yang tepat.
"Perlawanan ini memerlukan seluruh pasukan bekerja keras untuk mara ke perlawanan akhir," kata Azrif dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers.
Pemain berusia 25 tahun itu melakukan tugas yang cukup cemerlang di posisi sayap kanan dalam perlawanan persahabatan Malaysia menentang Singapura pada 7 Oktober lalu dan pasti mampu memainkan peranan yang sama untuk kelabnya yang kekurangan pilihan penyerang pada waktu ini.
Selain Azrif, sandaran JDT pastinya diletakkan ke atas bahu kapten Safiq Rahim dan seorang lagi penyerang tempatan, Safee Sali.
Sementara itu, Gomez berkata, walaupun perlawanan ini merupakan ujian terbesar buat JDT, pihaknya bersedia untuk memburu kemenangan.
"Adalah penting untuk kami mendapatkan gol awal kerana kami memerlukan hanya satu gol sahaja untuk melangkah ke pentas akhir untuk dua musim berturut-turut bagi mempertahankan kejuaraan Piala AFC.
"Saya yakin kami mampu memberi kejutan dan kesemua pemain kami telah pun bersedia untuk memberikan persembahan terbaik mereka," katanya.

