Terbuka Denmark: Chong Wei mara ke pusingan kedua
Ikon badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu utama, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong terpaksa menghadapi tentangan
sengit sebelum mara ke pusingan kedua Terbuka Denmark, semalam.
Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung awal pagi waktu Malaysia, Chong Wei mengambil masa satu jam untuk menewaskan pemain Hong Kong, Wei Nan dengan 16-21, 21-19 dan 21-11 di Odense Sports Park.
Menanti jaguh badminton negara itu di pusingan seterusnya adalah H.S Prannoy dari India yang mengalahkan seorang lagi pemain perseorangan negara Chong Wei Feng 21-13, 19-21 dan 22-20.
Chong Wei pernah menjuarai Terbuka Denmark pada 2005, 2006 dan 2012.
Sementara itu, V Shem dan Wee Kiong mengambil masa 58 minit untuk menundukkan lawan mereka Liu Cheng/Zhang Nan dari China dengan 21-18, 18-21 dan 21-18.
Mereka akan menentang beregu England, Marcus Ellis/Chris Langridge yang mudah mengetepikan Mark Lamsfuss/Marvin Emil Seidel dari Jerman, 21-19, 21-18 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama.
Bagaimanapun satu lagi beregu negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong tersingkir awal selepas tewas kepada beregu pilihan kelima kejohanan, Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, 11-21 dan 18-21.
-Bernama

