"Yang lain jangan cakap banyak, kalau cakap banyak saya hantar 'mat cangkul' saja lain kali.”
Itulah kata-kata bernada lawak dilontarkan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada pihak yang mengkritik prestasi Harimau Selatan.
Sebaik skuad JDT gagal melangkah ke saingan akhir Piala AFC malam tadi, Tunku Mahkota Johor itu berkata, keputusan perlawanan separuh akhir JDT berdepan Bengaluru tidak begitu memuaskannya.
"Bagi saya keputusan tak begitu memuaskan, tetapi saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kepada pemain JDT.
"Untuk berjaya sampai ke separuh akhir dua tahun berturut-turut sebagai pasukan pertama Malaysia adalah sangat berharga.
"Dan pencapaian yang paling baik bagi saya. Saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kepada pemain, pihak pengurusan JDT dan juga penyokong yang sentiasa beri sokongan," katanya dalam satu rakaman video di Facebook JDT.
Istilah 'mat cangkul' itu merujuk kepada kejadian dua lelaki menyerang seorang kakitangan Suruhanjaya Air Johor (SAJ) yang memotong bekalan air ke rumah suspek kerana tidak membayar bil.
Dalam video kejadian yang tersebar di media sosial, suspek menanggalkan topi keledar kakitangan SAJ itu lalu menumbuk kepalanya manakala seorang rakannya pula menendangnya.
Sebagai tindak balas kepada video yang viral itu, pengguna Internet menghasilkan parodi menampilkan lelaki bersenjatakan cangkul dalam pelbagai situasi lucu. Lelaki itu disebut sebagai 'Hang Cangkul’.
Tempelak 'lalang'
Tunku Ismail juga menempelak sikap rakyat Malaysia yang disifatkan sebagai 'lalang' apabila lebih gembira melihat kekalahan JDT.
"Saya tak tahu apa orang nak cakap, kenapa orang sibuk sangat.
"Hari ini saya nampak rakyat Malaysia jadi rakyat India pula, macam happy sangat.
"Sedangkan kita JDT yang mewakili negara, tetapi lalang ini tunjuklah sikap orang Malaysia ini macam mana," ujarnya.
Tambah beliau, JDT adalah pasukan paling sukses dalam dan luar padang dan pasukan terbaik di Malaysia.
"Satu negara kenal kami, orang luar kenal kami, orang luar iktiraf kami. Kalau orang lain nak sakit hati, mereput, mereputlah, peduli apa saya.
"Komen saya yang lain jangan cakap banyak, kalau cakap banyak saya hantar 'mat cangkul' saja lain kali," katanya.
Sementara itu, video kira-kira dua minit itu mendapat sambutan hangat pengguna Internet selepas di muat naik lewat malam tadi.
Setakat berita ini ditulis, video tersebut dikongsi hampir 22,000 kali oleh pengguna Facebook dan mendapat lebih 33,000 'like' dengan tontonan hampir 700,000 kali.
