Juara bertahan, Justin Thomas menampilkan aksi cemerlang bersama dua rakan senegara untuk muncul pendahulu bersama selepas pusingan pertama Kejohanan Golf CIMB Classic, hari ini.

Selain Thomas, dua rakan senegara dari Amerika Syarikat, Derek Fathauer dan Keegan Bradley melakarkan catatan sama, lapan bawah par 64 untuk mendahului satu pukulan pada saingan di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara Kuala Lumpur.

Pemain England, Paul Casey mengekori kelompok pendahulu itu dengan hanya ketinggalan satu pukulan manakala dua pukulan oleh pendahulu Jelajah Asia, Anirban Lahiri dari India.

Antara tiga pendahulu itu, Fathauer, yang melakukan penampilan sulung pada kejohanan bernilai US$7 juta (RM29.33 juta) itu menampilkan persembahan aksi bogey sifar dengan membenam lapan birdie.

"Saya bermain dengan cukup mantap dan ini adalah hari yang hebat. Saya cuba memperagakan aksi konsisten dan mengekalkan momentum ini dan lihat apa yang berlaku esok," kata Fathauer, pemain Florida berusia 30 tahun yang menjadi pemain pro pada 2008.

Sementara itu, Thomas, 23, memulakan kempen mempertahankan gelarannya dengan mengatasi keadaan cuaca panas terik dan lembap untuk melakukan sembilan pukulan birdie dan satu bogey.

"Saya sangat selesa...jika ada perkara mudah seperti lapan bawah par, maka ia adalah ini. Ini merupakan hari dengan stres yang rendah," katanya yang menyifatkan peningkatan suhu sehingga 33 darjah Celsius merupakan cabaran utama bagi dirinya.

"Saya benar-benar rasa pelik untuk memulakan saingan. Saya beritahu Jimmy (kedi) bahawa saya rasa macam lembik dan lemah tetapi saya cuba minum air sebanyak mungkin," kata Thomas, yang merangkul gelaran tahun lepas dengan 26 bawah par 262.

Dalam pada itu, pemenang Major, Bradley, yang memburu gelaran keempat dalam Jelajah PGA, merekodkan bogey sifar pada sembilan lubang pertama dengan enam pukulan birdie serta membenam eagle pada par lima lubang ke-10.

Bagaimanapun, beliau mencatatkan dua bogey pada lubang ke-11 dan 13 sebelum bangkit semula dengan dua birdie berturut-turut pada lubang ke-16 dan 17.

Kejohanan CIMB Classic adalah sebahagian daripada Piala FedEX dalam siri Jelajah PGA di Asia Tenggara dan diiktiraf bersama oleh Jelajah Asia dan Persatuan Pemain-Pemain Golf Profesional Malaysia (PGAM).

Kejohanan siri ketujuh kali ini menampilkan 78 pemain elit dengan 60 daripada Jelajah PGA, 10 Jelajah Asia dan lapan pemain jemputan penaja.

-Bernama