Ahmad Bashah minta penyokong Kedah berdisiplin
Penyokong Kedah dinasihatkan supaya lebih berdisiplin dan menunjukkan semangat kesukanan apabila skuad Lang Merah menentang Selangor pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memberi amaran bahawa angkara sikap keterlaluan dan tindakan liar penyokong boleh mengganggu konsentrasi pemain di pentas final.
Katanya pemain perlu sentiasa mengekalkan momentum permainan yang cemerlang dan oleh itu, sebarang tindakan negatif penyokong seperti membaling suar dan mercun ke dalam padang boleh menyebabkan pemain hilang fokus.
"Jangan menimbulkan masalah yang boleh menjejaskan peluang pasukan Kedah membawa pulang piala berprestij itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemberian Sumbangan Perayaan Deepavali di Alor Setar, semalam.
Beliau juga meminta penyokong supaya mematuhi peraturan dengan tidak membawa masuk barang larangan ke dalam stadium seperti senjata tajam, suar dan mercun.
Ahmad Bashah, yang juga Menteri Besar, yakin pasukan Lang Merah mampu membawa pulang Piala Malaysia ke Kedah tahun ini berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh anak didik Tan Cheng Hoe pada kempen tahun ini.
Untuk rekod, Kedah telah memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali iaitu pada 1990, 1993, 2007 dan 2008 dan tewas 2-0 kepada Selangor pada edisi 2015.
"Tahun lepas kita tidak ada peluang tapi saya yakin tahun ini dengan doa dan semangat pemain dan penyokong kita mampu membawa pulang piala berprestij ini," katanya.
Katanya ganjaran yang bakal menanti pasukan Lang Merah akan diumumkan selepas ia dibincangkan dalam mesyuarat Exco negeri.
"Kita belum putuskan jumlah ganjaran...namun seperti kebiasaan ganjaran memang akan diberikan jika Piala Malaysia berjaya dibawa pulang ke Kedah," katanya.
-Bernama

