Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Taja sukan permotoran lain lebih baik dari F1, kata KJ
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 9:16 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

Pembangunan bakat dalam kalangan pemandu tempatan lebih penting berbanding mengeluarkan kos yang besar menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) yang tidak lagi menguntungkan, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata bakat sedia ada seperti pemandu profesional negara Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Akash Nandy yang bersaing dalam perlumbaan GP2 dan GP3 memerlukan lebih perhatian dari segi penajaan untuk mengembangkan karier ke peringkat lebih tinggi.

"Mereka ada potensi tetapi tiada yang sanggup buat penajaan sedangkan pada masa sama kerajaan mengeluarkan peruntukan yang besar menaja perlumbaan yang tidak lagi membawa pulangan, baik dari segi sukan atau ekonomi," katanya mengulas antara faktor pertimbangan beliau menyarankan pengajuran F1 dihentikan.

Khairy berkata justifikasi untuk menghentikan sementara perlumbaan tahunan selepas kontrak penganjuran F1 berakhir 2018 itu mungkin berbeza sekiranya Malaysia mempunyai pemandu sendiri dalam arena permotoran tersebut.

"Kita pernah memiliki pemandu F1 sendiri tetapi ia bukan pemandu podium dan apabila tidak memiliki pemandu, maka tidak banyak peluang untuk mekanik dan pegawai-pegawai kita menyertai pasukan Formula Satu," katanya selepas menyempurnakan pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Tahap Emas kepada 185 penerima, hari ini.

Menurut Khairy, kos penganjuran F1 yang terlalu tinggi boleh dikatakan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan Petronas selaku penaja utama GP F1 sebenarnya menanggung 'hanya secebis' daripada keseluruhan kos.

Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia kini tidak lagi mempunyai kelebihan dari segi publisiti, kedatangan pelancong dan pulangan ekonomi hasil penganjuran acara tersebut selepas ia mula dianjurkan oleh Singapura, China dan di Timur Tengah.

"Apabila Formula One di bawa ke Malaysia, kita menjadi tuan rumah kedua di Asia selain Jepun dan atas faktor itu ia menarik minat yang sangat-sangat tinggi di kalangan penggemar sukan permotoran kerana tidak ada saingan lain, kecuali Jepun," katanya.

Mula dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sejak 1999, perlumbaan itu ditaja Petronas dengan Kementerian Kewangan merupakan pemegang saham utama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS