Piala M'sia: Tauke D'Herbs tetap sokong Kedah, tapi...
Walaupun hasrat syarikat kosmetik D'herbs Holding untuk menaja pasukan Kedah tidak kesampaian, pengasasnya Datuk Aliff Syukri Kamarzaman tetap menyokong skuad Helang Merah pada aksi akhir Piala Malaysia 2016.
Bagaimanapun, dalam masa sama jutawan kosmetik itu turut menyatakan sokongan buat pasukan Selangor yang akan menjadi lawan Kedah di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Aliff Syukri berkata, dia sememangnya penyokong Kedah dan pernah menjadi harapannya untuk menaja pasukan itu.
"Tapi apakan daya tak ada rezeki (taja Kedah) dan Kedah tempat asal isteri saya," katanya kepada Malaysiakini.
Pada Mei lalu, D'Herbs dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mencetuskan kontroversi tersendiri berkait isu penajaan.
D'Herbs menawarkan tajaan bernilai RM30 juta kepada KFA bagi tempoh tiga musim. Namun, penajaan itu ditolak KFA apabila ia melibatkan isu pengambilan tanah di negeri itu sebagai syarat.
Aliff Syukri berkata, sempena perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini harapannya semoga Kedah dan Selangor melakukan yang terbaik.
"Harapan saya semoga Selangor dan Kedah berjaya. Saya tak boleh komen, nak cakap lebih-lebih pun Selangor tempat bermastautin juga.
"Jadi kedua-dua pasukan pun saya sokong sebenarnya," katanya.
Selangor yang juga juara bertahan, mara ke final selepas menang agregat 5-1 ke atas T-Team manakala Kedah menang agregat 2-1 ke atas PDRM pada aksi separuh akhir.

