Kim Swee pilih Kedah, Sathia rasa Selangor
Hanya beberapa jam lagi pemenang sebenar Piala Malaysia akan ditentukan di Stadium Shah Alam.
Di sebalik debaran dan teka-teki itu ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk Ong Kim Swee berpendapat ketika wisel penamat ditiup pengadil nanti, kemenangan akan berpihak kepada Kedah.
Dan jika itu berlaku skuad gergasi merah perlu merelakan pemergian Piala Malaysia ke utara tanah air.
Tanpa menyentuh secara terperinci, Kim Swee meramalkan kemenangan anak buah Tan Cheng Hoe itu tidak akan mudah.
Malah katanya antara Kedah dan Selangor, mereka akan dipisahkan hanya satu gol saja.
"Saya pilih Kedah sebab saya nampak mereka lebih konsisten dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia manakala Selangor memang Piala Malaysia bagaikan sudah menjadi tradisi mereka, namun prestasi skuad itu agak turun naik pada musim ini. Sebab itu saya pilih Kedah (juara)," katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan turut meramalkan pemenang Piala Malaysia edisi tahun ini tidak mudah diketahui.
Seperti Kim Swee, Sathianathan menjangkakan perlawanan sengit dan kemungkinan besar melarat ke sepakan penalti.
Menurutnya, pertemuan ulangan musim lalu itu bakal menyaksikan satu perlawanan sengit.
"Saya jangka perlawanan akan berakhir dengan penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 1-1," katanya.
Namun untuk pemenang sebenar Sathianathan tidak sependapat dengan Kim Swee. Sathianathan memilih Selangor.
"Saya lihat kelebihan memihak kepada pasukan Selangor untuk muncul juara sekali lagi," katanya ketika dihubungi semalam.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, Kedah dan Selangor mempunyai kekuatan berbeza tetapi masing-masing seimbang.
"Kedah mempunyai senjata di posisi serangan kita dapat lihat penyerang mereka ada ketajaman, manakala Selangor dikuatkan dengan 'kereta kebal' bahagian pertahanan.
"Dua pemain pertahanan iaitu Rizal Fahmi dan Ugo Ukah akan jadi penghalang buat pasukan Kedah," jelasnya.

