Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Seorang penyokong istimewa Kedah‎ yang juga orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Azamirudin Ismail sanggup hadir ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, malam ini.

Bagaimanapun, tanpa memiliki tiket perlawanan pemuda berkerusi roda berusia 22 tahun itu mengharapkan ihsan penganjur bagi membolehkannya masuk ke stadium.

"Ini kali pertama saya ke Stadium Shah Alam dengan bantuan kawan-kawan untuk menonton aksi akhir pasukan Kedah.

"Kalau di Stadium Daru Aman Alor Setar, saya dibenarkan masuk secara percuma tanpa membeli tiket sebab saya OKU.

"Jadi hari ini saya harap pihak penganjur beri kebenaran untuk saya masuk seperti mana di stadium Kedah," katanya yang datang dari Sungai Petani.

Azamiruddin berkata, dia bersemangat untuk melihat pasukan Helang Merah menjulang Piala Malaysia selepas gagal pada musim lepas.

"Tahun lepas saya tak datang, tahun ini Kedah ke final lagi jadi saya ambil kesempatan datang memberi sokongan," katanya.

Sementara itu, wakil Kelab Penyokong Taman Puteri Jaya Sungai Petani, Mohd Zakit Chim berkata, mereka berkonvoi dengan lima buah kereta yang turut disertai Azamiruddin dan tiba di Shah Alam awal pagi tadi.

Katanya, rancangan untuk membawa Azamiruddin dibuat bagi meraikan semangat tinggi yang ditunjukkannya terhadap pasukan Kedah.

"Dia memang selalu pergi ke stadium tiap kali perlawanan di Stadium Darul Aman.

"Walaupun terpaksa berkerusi roda dan perlu ditolak dengan bantuan rakan, kami sanggup membantu merealisasikan hasratnya untuk menyaksikan perlawanan akhir ini," katanya.

Suasana di pekarangan Stadium Shah Alam kini mula dibanjiri keha‎diran penyokong Kedah dan Selangor sejak jam 3 petang.

 

Lihat Komen
ADS