Helang Merah sambar Piala Malaysia dari Gergasi Merah
Helang Merah akhirnya berjaya menyambar Piala Malaysia dari Gergasi Merah dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, sebentar tadi.
Debaran penyokong Kedah dan Selangor berakhir apabila penentuan sepakan penalti berpihak kepada Kedah 6-5, selepas masing-masing terikat 1-1 untuk tempoh 120 minit perlawanan.
Mohd Rizal Ghazali muncul sebagai hero pasukan Kedah apabila sepakannya membolehkan Kedah menjulang Piala Malaysia edisi ke-90 itu.
Dalam aksi mendebarkan itu, tiga pemain Selangor gagal menyempurnakan sepakan penalti, manakala dua kegagalan dilakukan anak buah Tan Cheng Hoe.
Pada kedudukan 5-5, Mohd Rizal Fahmi Rosid mengecewakan penyokong Selangor apabila sepakannya terkena palang gol.
Peluang itu dimanfaatkan oleh pemain Kedah yang berjaya disempurnakan Mohd Rizal untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Mohd Khalid.
Terdahulu, aksi 90 minit perlawanan menyaksikan penguasaan bola lebih berpihak kepada pasukan Kedah dengan taktikal hantaran pendek.
Skuad kendalian K Gunalan pula sebaliknya bermain lebih defensif dan banyak melakukan serangan balas.
Pasukan Kedah bermula seawal minit pertama menerusi tendangan Badrrol Bakhtiar, namun tidak berhasil mencipta gol dengan tendangan terlalu tinggi.
Begitu juga percubaan Ahmad Hazwan Bakhri apabila tandukannya menerusi sepakan penjuru tersasar pada minit ketiga.
Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan gagal mencipta sebarang jaringan walaupun melakukan percubaan beberapa kali ke arah gol lawan.
Hanya pada minit ke 51, Kedah membuka tirai jaringan awal menerusi ledakan ke gawang pasukan Selangor oleh Mohd Rizal.
Hasil percubaan dari luar kotak penalti itu berjaya meletakkan Kedah di hadapan seketika untuk mendahului Selangor.
Bagaimanapun, The Red Giant tidak mudah mengalah apabila pantas membalas jaringan bagi menyamakan kedudukan pada minit ke 59.
Menerusi sepakan Ahmad Hazwan, penyerang Selangor itu bijak memperdayakan pertahanan Kedah untuk memastikan kedudukan terikat 1-1.
Sehingga minit ke 90, kedudukan masih terikat dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan selama 30 minit.
Bagaimanapun, kedua-dua pasukan buntu untuk mencipta gol, sehingga keputusan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

