Angka 90 seperti menjanjikan khabar paling gembira dan membawa keindahan tersendiri buat jurulatih pasukan bola sepak Kedah, Tan Cheng Hoe.

Pada 1990, Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dan Cheng Hoe adalah seorang daripada anggota skuad Helang Merah ketika itu.

Tahun ini pula dia sekali lagi terlibat dalam Piala Malaysia. Sebagai jurulatih Cheng Hoe mengemudi skuad Kedah untuk menjulang trofi berkenaan yang diadakan untuk edisi ke-90.

"Satu kejayaan fantastik kepada saya, saya bermain untuk Kedah pada 1990 untuk menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama.

"Malam ini suatu yang signifikal buat diri saya apabila menjulang Piala Malaysia edisi ke-90 sebagai jurulatih‎ Kedah," katanya.

Mengulas kejayaan anak buahnya, Cheng Hoe menegaskan semangat juang yang tinggi dimiliki pemainnya menjadi senjata utama untuk mencipta kejayaan.

"Tahniah kepada semua pemain kerana memberi komitmen tinggi sepanjang perlawananan hingga memberi kejayaan kepada kami.

"Tanpa komitmen tinggi dari mereka sudah pasti kami tidak mampu mencipta kejayaan. Malah, kami tahu bukan senang untuk menang di Shah Alam apatah lagi dalam cuaca hujan," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kejayaan itu turut menyaksikan Kedah menebus kekecewaan Piala Malaysia musim lalu selepas tewas 0-2 kepada Selangor di stadium sama juga pada aksi akhir.

Namun, perlawanan sengit dipamerkan kedua-dua pasukan sebelum Kedah mengesahkan kemenangan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas permainan berakhir dengan 1-1.

Selain itu, Cheng Hoe mengakui dia tetap meletakkan keyakinan tinggi pemainnya mampu mencipta kejayaan biarpun gagal menyempurnakan beberapa peluang sepanjang aksi 120 minit.

"Memang kami memiliki banyak peluang dan perlawanan sepatutnya ditamatkan tanpa penentuan sepakan penalti.

"Namun, sepanjang permainan saya yakin dengan kemampuan semua pemain, malah mereka juga tahu apa yang patut buat dan mereka sudah buktikan," katanya.‎