Harimau Malaysia akan berlatih jam 3 petang
Latihan bermula jam 3 petang. Itulah yang akan dilakukan oleh skuad Harimau Malaysia bermula minggu depan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca untuk berdepan dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar yang akan berlangsung waktu petang.
Jurulatih skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee turut menjelaskan perlawanan persahabatan dengan Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada 14 November ini dijangka akan berlangsung jam 3 petang.
"Kemungkinan minggu depan kita akan buat latihan burmula jam 3 petang bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan perlawanan dengan Papua New Guinea juga dijangka akan berlangsung jam 3 petang.
"Ia sangat penting yang mana kita tahu pemain akan berdepan cuaca agak panas. Malah, bukan saja dari segi cuaca tetapi juga untuk persiapan pada hari perlawanan (di Yangon) kita akan berdepan perkara yang sama.
"Hanya perlawanan terakhir berdepan tuan rumah Myanmar saja akan berlangsung lebih lewat kira-kira jam 6 petang," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Malaysia berada dalam Kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki bersama tuan rumah Myanmar, Vietnam dan Kemboja dan akan memulakan saingan berdepan Kemboja pada 20 nanti.
Sementara itu, Kim Swee yakin aksi cemerlang dipamerkan Ahmad Hazwan Bakri dari Selangor dan Mohd Rizal Ghazali (Kedah) pada final Piala Malaysia Ahad lalu akan menambah kekuatan Harimau Malaysia.
"Satu pentanda yang cukup baik, Hazwan menjaringkan gol dalam dua final yang mana ia sudah pasti bukan satu tugas mudah. Rizal juga menunjukkan keyakinan tinggi dan ia positif untuk pasukan kebangsaan," katanya.
Rizal bersama tiga lagi pemain Kedah termasuk Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari melaporkan diri ke kem skuad kebangsaan malam tadi selepas diberi pelepasan menyertai majlis sambutan kemenangan Piala Malaysia bersama Helang Merah di Alor Setar, semalam.
Sementara itu empat pemain Selangor termasuk Ahmad Hazwan, Shahrom Abdul Kalam, Khairul Azhan Khalid dan S Veenod sudah melaporkan diri bersama Harimau Malaysia.

