Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAS belum minta, Selangor mahu susun peruntukan untuk bola

Kerajaan Selangor tidak menerima permintaan daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai peruntukan yang diperlukannya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2017.

Bagaimanapun, Exco Belia dan Sukan Selangor, Amirudin Shari berkata, ia tidak bermaksud peruntukan untuk persatuan bola sepak negeri itu tidak ada.

"Pertama, bila belanjawan dibuat kita tak dapat permintaan daripada FAS berapakah peruntukan yang harus digunakan untuk musim depan.

"Kedua, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menyusun semula pembangunan dan juga industri bola sepak secara menyeluruh," katanya kepada Malaysiakini.

Pada pembentangan Belanjawan Selangor 2017 baru-baru ini, menteri besarnya Datuk Seri Azmin Ali tidak menyebut mengenai perbelanjaan untuk sukan itu tahun hadapan, berbanding RM23 juta yang diperuntukkan pada 2016.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata kerajaan negeri memutuskan untuk melakukan penyusunan semula memandangkan Selangor akan diwakili dua pasukan iaitu pasukan Selangor dan PKNS FC dalam saingan Liga Super musim depan.

Ini kerana PKNS FC meraih tempat kedua dalam Liga Perdana sekali gus layak bersaing dalam Liga Super.

"Melihat kepada kadar perbelanjaan kedua-dua pasukan, kita harus menyusun semula supaya dapat melihat kos yang diperlukan," katanya.

Beliau memberi contoh pada musim ini apabila sebanyak RM20 juta hingga RM23 juta diperlukan untuk pasukan Selangor, manakala RM5 juta disumbangkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Sedangkan dalam musim ini PKNS juga membelanjakan sekitar RM17 juta untuk pasukan mereka sendiri iaitu PKNS FC," jelasnya.

Justeru katanya, kerajaan Selangor akan membuat keputusan pada bulan ini sama ada mahu menjadikan formula dua pasukan dalam Liga Super atau hanya satu pasukan.

Tambah Amirudin, beliau juga tidak menolak kemungkinan sekiranya FAS tidak memerlukan dana negeri dan perbincangan akan dilakukan termasuk melibatkan penswastaan pasukan.

"Mengenai penswastaan pasukan, FAS harus membuat keputusan segera melalui jawatankuasa exco. Ia melibatkan banyak langkah dan perlu dimuktamadkan FAS," katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini kerajaan negeri belum memutuskan bentuk bantuan dan sokongan yang akan diberikan kerana tidak mengetahui perancangan FAS.

"Jadi semua perkara itu kita akan bincangkan nanti bersama FAS.

"Kena tengok secara menyeluruh, kita tak nak perbelanjaan terlalu besar hanya melibatkan sukan bola sepak," katanya.

Lihat Komen
ADS