Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PBNS lantik Steinebrunner sebagai pengarah teknikal

Bekas jurulatih Kelab Medan Chiefs, Indonesia, Jorg Peter Steinebrunner dilantik sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), baru-baru ini.

Presiden PBNS yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perlantikan Steinebrunner, yang berasal daripada Jerman itu bertujuan bagi memberi tumpuan khusus kepada sistem pembangunan sukan bola sepak di negeri ini meliputi semua peringkat.

"Jurulatih pasukan kita ambil di kalangan jurulatih sedia ada iaitu Mohd Asri Ninggal daripada penolong jurulatih yang mana kita naikkan jadi jurulatih dan PBNS juga mengambil seorang jurulatih berbangsa Jerman (Steinebrunner) untuk menjadi pengarah teknikal kepada persatuan untuk melihat sistem latihan di semua peringkat,iaitu liga perdana, presiden, belia dan sekolah.

Dalam masa yang sama, beliau (Steinebrunner) kita minta supaya memberikan bantuan kepada Mohd Asri untuk membina pasukan senior team kita. Sekarang ini dengan adanya program pembangunan sukan, kita minta supaya budak-budak Piala Belia bawah 19 tahun, Piala Presiden bawah 21 tahun dan senior team dilatih dalam satu 'budaya' atau teknik bola sepak yang sama," katanya kepada pemberita di Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perlantikan Steinebrunner yang sebelum ini dikhabarkan dilantik sebagai jurulatih baharu skuad Rusa menggantikan jurulatih dari Australia, Gary Michael Phillips.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Steinebrunner dalam masa yang sama juga turut diminta membantu mempersiapkan pasukan senior bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim hadapan.

"Kita perlukan satu budaya sistem yang sama di semua peringkat untuk senang bagi kita nak serap pemain dan membina pemain," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad juga membayangkan bahawa skuad Rusa pada musim hadapan dijangka akan dibarisi lebih banyak pemain muda daripada Piala Presiden.

"Walaupun belum muktamad, kita banyak serapkan pemain muda daripada Piala Presiden (ke skuad senior) untuk pastikan mereka dapat dilatih dan mantap," katanya.

Pada saingan Liga Perdana lepas, Negeri Sembilan menamatkan saingan liga dengan sekadar menduduki tangga keempat selepas JDT II dengan pungutan mata sebanyak 35 mata.
 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS