Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemain terbaik Piala Malaysia 2016 tinggalkan Kedah?
Diterbitkan:  Nov 3, 2016 11:17 AM
Dikemaskini: 4:17 AM

Pemain Kedah, Mohd Rizal Ghazali memberi bayangan bakal menyarung jersi pasukan baru pada musim 2017.

Ia susulan komen kapten Helang Merah, Baddrol Bakhtiar di akaun instagram milik Rizal seolah-olah mengesahkan perkara itu akan menjadi kenyataan.

Baddrol mengucapkan selamat berjaya kepada pemain terbaik Piala Malaysia 2016 itu.

"Good luck team baru @rizalghazali15 @wanmsz22 (Ahmad Syazwan Zainol," tulis Baddrol.

Rizal kemudiannya membalas komen tersebut dengan memberikan isyarat akan berpindah ke pasukan baru kerana kontraknya dengan skuad hijau kuning telah tamat.

"Selama tiga tahun aku duduk dengan team Kedah memang terbaik. Aku, kontrak dah habis.

"Good luck Kedah 2017, ada rezeki kita bersama lagi @bakhtiarbaddrol," balasnya.

Susulan kenyataan itu, ia menimbulkan kegelisahan di kalangan penyokong Kedah dan peminat Rizal sendiri.

 

Ramai pengikut Rizal di Instagram menyarankan agar pemain berusia 24 tahun itu kekal bersama pasukan Kedah.

Tidak kurang juga di kalangan penyokong yang memberi galakkan sekiranya perkara itu benar demi masa depan anak kelahiran Baling itu.

Bagaimanapun, perkara itu belum rasmi dan Persatuan Bola Sepak Kedah kelmarin menyatakan pihaknya akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status kontrak jurulatih dan pemain dalam masa terdekat.

Terdahulu Rizal dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Malaysia musim ini selepas membantu Kedah menjulang trofi tersebut buat kali kelima dengan menewaskan Selangor, Ahad lalu.

Sementara itu, Malaysiakini Sukan sedang cuba mendapatkan penjelasan Rizal berhubung perkara tersebut.

Lihat Komen
ADS