Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Skuad hoki remaja negara telah mencuba yang terbaik untuk menang pada perlawanan malam ini, tetapi kesilapan demi kesilapan telah membuka ruang kepada pasukan Pakistan menguasai perlawanan, kata pengendalinya, Wallace Tan.

"Terlalu banyak kesilapan yang dilakukan oleh pemain menjadi punca kepada kekalahan malam ini apabila kita gagal bermula baik pada awal perlawanan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aksi perlawanan yang berkesudahan Malaysia tumpas kepada Pakistan 1-4 di Johor Bahru, malam tadi.

"Saya tidak menyalahkan pemain kerana mereka telah berusaha dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Tan berkata beliau membayangkan perlawanan menentang Jepun pada Jumaat ini lebih sukar daripada cabaran sebelum ini dan skuadnya perlu beraksi baik untuk mencari kemenangan dengan berbaki dua perlawanan lagi.

"Saya bayangkan bahawa perlawanan menentang Jepun lebih sukar apabila mereka (Jepun) dilihat lebih bersedia apabila bangkit menang dalam dua perlawanan kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, penyerang skuad hoki remaja negara, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi berkata kepenatan baru pulang beraksi di Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Kuantan, Pahang pada 30 Okt bukan satu alasan baginya.

"Saya telah bermain 100 peratus namun kesilapan telah membuka ruang kepada pasukan lawan menjaringkan gol," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Jepun pada Jumaat ini, Nik Muhammad Aiman berkata Malaysia tidak boleh memandang mudah keupayaan pasukan Jepun kerana mereka mempunyai kelebihan sendiri dan telah berjaya membuktikan sesuatu di SOJC.

Malaysia dijadualkan beraksi menentang Jepun pada Jumaat ini sebelum melengkapkan jadual perlawanan berhadapan New Zealand pada Sabtu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS