Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Fifa larang England guna bunga popi pada jersi
Diterbitkan:  Nov 3, 2016 3:37 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Persekutuan Bola Sepak England (FA) sedang berbincang dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung penggunaan lencana bunga popi pada jersi pemain pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 bertemu Scotland di Wembley, Jumaat ini.

Bunga popi merupakan simbol memperingati tentera Inggeris yang gugur pada Perang Dunia I yang berakhir pada 11 November 1918 dan peristiwa itu dikenang sebagai Remembrance Sunday.

Peringatan Remembrance Sunday dibuat pada minggu kedua bulan November dan tahun ini ia jatuh pada tarikh 13 November.

Setiap tahun, sukarelawan akan menjual bunga popi asli ataupun buatan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada bekas tentera perang yang dikenali sebagai British Legion.

Sebagai memperingati peristiwa tersebut, pasukan bola sepak England mahu mengenakan lencana bunga popi pada perlawanan berdepan Scotland.

Namun, hasrat untuk menggunakan lambang bunga yang tumbur subur ketika perang dunia pertama itu setakat ini dihalang Fifa.

Badan induk bola sepak dunia itu menegaskan bahawa sebarang unsur politik, agama dan sentimen sosial tidak dibenarkan kelihatan di jersi pemain kebangsaan yang bertanding.

Bagaimanapun, FA akan berbincang dengan Fifa berhubung halangan tersebut termasuk mengambil tahu jenis hukuman yang akan diterima sekiranya hasrat itu diteruskan.

FA pernah berjaya mempengaruhi Fifa untuk mendapatkan kebenaran menggunakan lambang bunga popi pada aksi persahabatan bertemu Sepanyol pada November 2011.

Ketika itu, Fifa tetap dengan pendirian untuk melaksanakan peraturan tersebut dan akhirnya mencetuskan protes masyarakat England, termasuk Perdana Menteri David Cameron dan Putera William.

Cameron dan William kemudian menghubungi Fifa dan selepas menerima desakan, badan induk itu akhirnya memberikan keizinan pemakaian lambang tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS