Pemain negara, Nicholas Fung berharap tuah menyebelahinya untuk mencatat keputusan yang lebih baik di Kejohanan Golf Masters Manila di Kelab Golf & Country Manila Southwoods dari 10-13 Nov ini.

Selepas menduduki tempat kelima ketika edisi pertama kejohanan itu pada 2013 diikuti posisi kelapan pada 2014, Fung, 26, meletak harapan tinggi untuk mendapat keputusan yang lebih baik kali ini.

"Saya tidak sabar untuk beraksi semula di kejohanan itu. Ia adalah antara lapangan kegemaran saya kerana saya sukakan reka bentuknya," kata Fung seperti dipetik dalam laman web Jelajah Asia www.asiantour.com.

"Selain itu, saya juga mempunyai kemenangan manis di situ. Saya dapat mengekalkan kedudukan dalam Jelajah Asia hasil dua keputusan membanggakan di lapangan tersebut," kata Fung yang berkongsi kedudukan ke-32 di kejohanan tersebut tahun lepas.

Fung juga mengakui perlu meningkatkan kekuatan mentalnya serta putting yang beliau percaya adalah kunci utama untuk memenangi sebarang gelaran.

"Putting saya bukannya tidak baik tetapi saya sedar agak sukar melakukannya ketika keadaan terdesak. Saya perlu belajar untuk lebih bertenang dan tidak terlalu memikirkannya ketika masih bersaing merebut kejuaraan," kata pemain berasal dari Sabah itu.

Antara pemain yang akan beraksi di kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan US$1 juta (kira-kira RM4.2 juta) adalah juara dua kali sirkit Jelajah Asia musim ini, Chan Shih-chang dari Taiwan, Pavit Tangkamolprasert (Thailand), Mardan Mamat (Singapura) dan S.S.P.Chawrasia serta Gaganjeet Bhullar (India).

-Bernama