Tiada lagi keraian, Abdul Latif fokus latihan
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Abdul Latif Romly mahu kembali fokus menjalani latihan bagi menghadapi musim baharu dengan pencapaian lebih cemerlang.
Abdul Latif berkata tumpuannya kini adalah untuk berada dalam ranking terbaik dunia bagi kategori lompat jauh T20 untuk layak beraksi di Kejohanan Paralimpik Dunia tahun depan.
"Saya sudah mula jalani latihan, fokus saya ketika ini adalah untuk mencari ranking terbaik untuk layak beraksi di Kejohanan Paralimpik Dunia. Saya perlu berada dalam kelompok lima atau lapan terbaik.
"Kejohanan pertama saya adalah Grand Prix Dubai pada Februari. Majlis Sukan Negara (MSN) telah mengehadkan beberapa program luar untuk memberi laluan kepada kami menjalani latihan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan wira-wirawati Paralimpik negara anjuran DRB-Hicom Berhad di Wisma DRB-Hicom di Glenmarie, di Shah Alam hari ini.
Abdul Latif berkata beliau kini mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut kanan, dan dinasihatkan lebih berhati-hati ketika menjalani latihan.
Atlet berusia 19 tahun itu berkata bagi permulaan musim ini, beliau tidak meletakkan sasaran untuk memecah rekod kebangsaan atlet normal negara sejauh 7.88 meter milik Josbert Tinus.
"Dalam masa terdekat, saya tidak sasarkan untuk membuat rekod baharu, jika layak beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan, mungkin saya akan cuba pada kejohanan itu kerana saingan lebih hebat lagi," katanya.
Abdul Latif adalah pemegang rekod dunia acara lompat jauh T20 dengan catatan 7.60 meter yang dilakukan di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos lepas.
-Bernama

