DRB-Hicom taja wira Paralimpik tunai umrah
Empat atlet paralimpik yang mengharumkan nama negara di Sukan Paralimpik terus diberi penghargaan dengan DRB-Hicom Berhad menyediakan pakej menunaikan umrah untuk mereka dan ibu bapa, Januari depan.
Mereka diberi ganjaran itu berikutan kejayaan bersejarah memenangi tiga pingat emas dan satu gangsa di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil.
Atlet tersebut adalah pemenang pingat emas acara 100 meter T36, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru F20 lelaki), Abdul Latif Romly (lompat jauh T20 lelaki) dan pemenang gangsa, Siti Noor Radiah Ismail (lompat jauh F20 wanita).
Muhammad Ziyad ketika ditemui pemberita berkata impiannya mengerjakan umrah bersama ibu bapanya kian tercapai.
"Saya berterima kasih kepada DRB Hicom yang menaja atlet paralimpik serta ibu bapa kami untuk mengerjakan umrah. Jika ada rezeki saya berhasrat membawa bakal isteri saya bersama," kata Muhammad Ziyad yang akan melangsungkan pernikahan pada 11 Nov ini.
Abdul Latif turut gembira dapat mengerjakan umrah bersama rakan yang lain dan ibu bapa mereka.
"Ini adalah ganjaran yang sangat bermakna, saya tidak pernah menyangka kami diberi penghargaan seperti ini, terima kasih kepada semua," kata Abdul Latif.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata jumlah penajaan bernilai lebih RM200,000 itu membabitkan 22 orang termasuk atlet.
"Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka kepada negara, kami amat berbesar hati menghadiahkan pakej umrah ini sebagai tanda penghormatan terhadap pencapaian yang amat bermakna.
"Kami kagum dengan pencapaian mereka dan saya berharap atlet ini terus berusaha menjadi lebih baik. Kejayaan mereka adalah sumber inspirasi untuk seluruh rakyat Malaysia," kata Syed Faisal.
DRB-Hicom merupakan konglomerat utama Malaysia yang berteraskan bidang automotif dan perniagaan, perkhidmatan, pendidikan, hartanah, aset dan pembinaan.
-Bernama

