Desas-desus mengatakan pemain pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali akan dilamar pasukan JDT disangkal jurulatih Harimau Selatan, Mario Gomez.
Ia susulan laporan media sebelum ini yang menyatakan kontrak pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 itu bersama skuad Helang Merah akan tamat dan sedang berada dalam radar JDT.
"Baru-baru ini tersebar khabar angin mengenai JDT berminat dengan pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali.
"Dia seorang pemain yang bagus tetapi tiada dalam perancangan JDT," kata Gomez dalam kenyataan di Facebook semalam.
Menurut jurulatih dari Argentina itu, mereka akan kekal dengan barisan pertahanan sedia ada yang disifatkannya sebagai terbaik.
"Saya rasa ini adalah barisan terbaik yang pernah saya miliki selama ini. Saya amat berbesar hati kerana mereka masih mahu beraksi bersama kelab JDT.
"Janganlah menyebarkan khabar angin, membuat publisiti murahan untuk melariskan akhbar anda," katanya.
Malaysiakini juga sebelum ini melaporkan Mohd Rizal berkemungkinan akan meninggalkan pasukan Kedah susulan kontraknya tamat pada tahun ini.
Malah pemain berusia 24 tahun itu seolah-olah mengesahkan akan menyarung jersi pasukan baru musim depan berdasarkan komen di Instagramnya.
