Jangan bimbang. Jika tiada aral melintang Robin van Persie akan kembali beraksi dengan kelincahannya yang tersendiri tidak lama lagi.

Kedua-dua matanya juga kemungkinan besar akan kembali dapat melihat seperti biasa.

Kebimbangan ramai terhadap kesihatannya semalam terbukti tidak tepat.

Difahamkan darah yang keluar dengan banyak akibat pelanggaran van Persi dengan pemain kelab Akhisar Belediyespor hanya disebabkan kecederaan pada kelopak mata.

Melalui media sosial bekas ayam tambatan Arsenal dan Manchester United itu menyatakan kecederaan dialaminya tidak terlalu serius.

"Saya berterima kasih kepada semua doa anda untuk kecederaan saya semalam. Terima kasih tidak terhingga juga kepada semua kakitangan perubatan yang merawat saya," katanya.

Semalam beberapa laporan menyatakan kemungkinan mata kiri van Persie akan rosak kekal dan pemain kebangsaan Belanda itu tidak lagi dapat melihat melaluinya.

Semalam media melaporkan gara-gara pertembungan fizikal pada kelajuan tinggi dengan Abdulwahid Sissoko, mata van Persie, 33, mungkin rosak teruk.

Bermain untuk kelab Fenerbahce, van Persie diturunkan Dick Advocaat untuk menentang kelab bawahan, Akhisar Belediyespor di Manisa dalam saingan liga tempatan Turki, Super Lig.

Pemain kebangsaan Belanda itu kelihatan melambung dan berguling di atas padang sambil memegang matanya yang berdarah banyak.

Dia kemudian diusung ke luar padang untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Van Persi menjaringkan gol pembukaan kelabnya dan perlawanan berkesudahan Fenerbahce menang 3-1.

Kata van Persi selepas pihak hospital menjalankan pemeriksaan, dia dimaklumkan tiada kecederaan pada matanya.

"Jadi, semuanya baik. Kejadian begini memang selalu berlaku dalam bola sepak.

"Kini fokus saya ialah perlawanan akan datang," katanya.

Sebelum itu doktor kelab Fenerbahce, Burak Kunduraciogl, juga sudah membayangkan tiada yang perlu dibimbangkan pada van Persie.

"Selepas memeriksa van Persi, kami mendapati tiada yang penting berlaku. Keadaannya baik-baik saja," katanya.