Penyerang Harimau Malaysia Ahmad Hazwan Bakri mengakui prestasinya belum cukup memuaskan pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Papua New Guinea petang semalam, meskipun berjaya menyumbang jaringan penting.

"Saya tak boleh berpuas hati lagi sebab saya pun tak beraksi sepenuh masa," katanya kepada media selepas Malaysia meraih kemenangan 2-1 di Stadium Shah Alam.

Ahmad Hazwan yang juga penyerang Selangor kini antara pilihan utama dan bakal menjadi watak penting skuad negara berdepan cabaran Piala Suzuki AFF 2016 di Myanmar, minggu depan.

Bagaimanapun, jurulatih Malaysia Datuk Ong Kim Swee tetap membarisi pemain berpengalaman dalam kem latihannya seperti Amri Yahyah, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

Kejayaan itu sekali gus menebus 'dendam' kekalahan 0-2 skuad kebangsaan kepada pasukan sama pada aksi persahabatan Jelajah Oceania pada 17 Jun lepas.

Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat, ia tidak mematahkan semangat pasukan negara apabila bangkit menumpaskan Papua New Guinea (PNG) 2-1 dengan bantuan jaringan penalti.

Mengulas gandingannya bersama Darren Lok, Ahmad Hazwan berkata, percaturan Kim Swee itu adalah satu langkah untuk mereka mencari keserasian.

"Jurulatih letak saya dengan Darren, kita berjaya mencari keserasian antara satu sama lain.

"Saya boleh tahu cara permainan dia, tetapi perlu sedikit masa lagi untuk (lebih) persefahaman. Mungkin dalam latihan kita boleh tingkatkan lagi," katanya.

Skuad Harimau Malaysia akan berlepas ke Myanmar Rabu ini sebelum beraksi dalam peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2016.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan membuka kempen menentang Kemboja pada 20 Nov sebelum berdepan Vietnam (23 Nov) dan tuan rumah Kumpulan B, Myanmar (26 Nov), perlu berada dalam kelompok dua pasukan teratas untuk mara ke separuh akhir.