Lumba Basikal: YSD taja RM2.6 juta misi Olimpik 2020
Kontrak penajaan Yayasan Sime Darby (YSD) untuk pelumba trek negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa tidak disambung bagi misi Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Sebaliknya, YSD meneruskan kesinambungan sebagai penaja bagi skuad berbasikal trek dengan penajaan berjumlah RM2.6 juga bagi persediaan enam pelumba muda untuk menempah tiket ke Tokyo.
Tajaan tersebut akan bermula Februari tahun depan hingga Ogos 2020, kata Pengerusi YSD, Tun Musa Hitam dalam kenyataan, di sini, hari ini
Katanya, kemenangan Azizulhasni meraih pingat gangsa di Olimpik Rio 2016 meyakinkan mereka untuk menaja pasukan pelumba muda beruisa antara 19 dan 21 tahun.
"Malangnya Azizulhasni dan Fatehah meluahkan hasrat untuk tidak meneruskan komitmen di bawah YSD. Mereka sedang menuju ke arah memperoleh pingat emas Olimpik pertama negara dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Sime Darby Berhad, hari ini.
Azizulhasni, dengan jolokan Pocket Rocketmen, ditaja bersama dua lagi pelumba oleh YSD dengan jumlah RM2 juta sejak 2009 hingga 2012 bagi menghadapai Sukan Olimpik London 2012.
Selepas menamatkan Olimpik London tanpa sebarang pingat, YSD terus melanjutkan penajaan Azizulhasni dan pelumba wanita, Fatehah menghadapi kempen Sukan Olimpik Rio 2016.
Azizulhasni membawa pulang pingat gangsa dari Rio.
Pada masa sama, Azizulhasni juga penerima biasiswa YSD Star berjumlah RM456,000 untuk pengajiannya di Universiti Victoria, Melbourne, Australia.
Dalam pada itu, enam pelumba muda yang dipilih adalah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Khairil Nizam Rasol, Anis Amira Rosdi, Muhammad Fadil Mohd Zonis, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin dan Farina Shawati Mohd Adnan.
"Pelumba muda ini dipilih secara teliti oleh ketua jurulatih basikal trek negara, John Beasley berdasarkan potensi untuk muncul sebagai atlet bertaraf dunia dan layak ke Sukan Olimpik akan datang,", kata Musa.
Tajaan YSD itu bertujuan memberi peluang kepada pelumba junior menyertai kejohanan antarabangsa yang akan membolehkan mereka mengumpul mata untuk layak ke siri Piala Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan akhirnya ke Sukan Olimpik.
-Bernama

