Paling Popular
Terkini

FAM bakal memperkenalkan sistem pendaftaran pemain, pegawai pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dan ahli gabungan menerusi Program FAM MyPAS dengan kerjasama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), seawal Disember ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata program yang diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 7 Nov lalu menerusi projek badan induk itu, ‘FIFA Connect’ akan memudahkan pentadbiran dan pengurusan pasukan masing-masing.

Beliau berkata melalui platform itu, kesemua pemain dan pegawai yang berdaftar akan diberikan pengenalan diri (ID) dan platform itu akan menjadi asas dari aspek kawalan umur, perlindungan pemain bawah umur serta pembangunan bola sepak di setiap peringkat berteraskan ketelusan maklumat.

"Program ini akan membantu kita dalam integrasi maklumat-maklumat pemain serta pegawai secara menyeluruh dan sistematik untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan pasukan masing-masing.

"Sejajar dengan matlamat kami sebagai organisasi bola sepak yang sentiasa memandang ke hadapan, teknologi yang diguna pakai FAM MyPAS ini akan memberi impak yang besar kepada pentadbiran pasukan-pasukan Liga Malaysia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hamidin berkata FAM akan menganjurkan sesi bengkel latihan bersama para pegawai pentadbir dari setiap pasukan Liga-M dan ahli gabungan, bermula 28-29 Nov di Wisma FAM, Kelana Jaya bagi memudahkan kelancaran program itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS