Nasibnya di anugerah Puskas Persekutuan Fifa masih belum jelas.

Tetapi sekurang-kurangnya di Youtube, pemain Pulau Pinang Faiz Subri mencapai popularitinya yang tersendiri.

Antara 10 calon anugerah gol tercantik itu, aksi Faiz ketika menentang Pahang pada 16 Februari lalu itu kini paling banyak ditonton berbanding pencabarnya yang lain.

Video setakat ini menyaksikan Faiz unggul di depan hampir sejuta tontonan dalam masa dua hari ia dimuat naik ke saluran Fifa.

Setakat berita ini ditulis, gol cantiknya menggunakan teknik 'knuckleball' itu kini ditonton sebanyak 977,434 – lebih 200,000 tontonan di depan pencabar terdekatnya.

Faiz diikuti oleh Marlone (Brazil) dengan 780,495 tontonan, Neymar (Brazil) dengan 743,357 tontonan dan Lionel Messi (Argentina) dengan 742,875 undi.

Sementara itu, pesaing Faiz bagi anugerah itu turut membarisi pemain dari Sepanyol Mario Gaspar, Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Saul Niguez (Sepanyol), Hal Robson-Kanu (Wales), Daniuska Rodriguez (Venezuela) dan Simon Skrabb (Finland).

Bagaimanapun, pemenang Puskas akan dipilih berdasarkan undi awam dan bukan populariti. Pengundian ditutup kepada peminat bola sepak seluruh dunia pada 2 Disember depan.

Pemenang akan diumumkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Terbaik Fifa pada 9 Januari 2017 di Zurich, Switzerland.

Pada 16 Februari lalu, Faiz membuat kejutan melalui tendangan unik yang menghasilkan gol ketika membantu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super 2016.

Aksi di Stadium Bandaraya di George Town Pulau Pinang itu, pemain 29 tahun itu mengambil sepakan percuma tersebut pada minit ke-62 di posisi kiri luar petak penalti lawan.

Awalnya, bola sepakannya kelihatan melayang ke arah kanan gawang Pahang dan penjaga gol kelihatan bersedia untuk membuat tampanan.

Bagaimanapun ketika bola masih agak tinggi di udara bola itu tiba-tiba menukar haluan ke kiri pintu gol dan menerjah gawang.

Gol menarik dijaringkan Faiz itu dikatakan setaraf dengan gaya Roberto Carlos, David Beckham dan Cristiano Ronaldo.