Malaysia Dragons berdepan cabaran getir musim baru ABL
Kemenangan akhirnya dikecapi musim lalu selepas bertarung dalam enam musim sejak tahun 2010.
Selepas mengharungi satu persatu perlawanan, Westports Malaysia Dragons akhirnya menjulang piala Asean Basketball League (ABL) dengan mengalahkan seteru dari selatan, Singapore Slingers.
Detik bersejarah untuk Malaysia memenangi antara salah satu liga berprestij dalam arena bola keranjang itu bagaimanapun bukan mudah dicapai.
Walaupun pasukan kebangsaan wanita berjaya memenangi pingat emas dalam Sukan SEA lalu, pasukan lelaki pula hilang peluangnya di podium ketika itu apabila dikalahkan oleh Singapura untuk pingat gangsa.
Ketua jurulatih baru Dragons, Christopher Thomas yang baru berusia 36 tahun mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk digalas.
Karier Thomas bermula di negara asalnya di Amerika Syarikat, terutamanya sebagai jurulatih liga NBA seperti Golden State Warriors, Chicago Bulls dan Utah Jazz. Beliau juga pernah melatih pemain point guard terbaik NBA, Stephen Curry dan Derrick Rose.
Musim ABL kali ini juga disertai tiga pasukan baru bersama Malaysia Dragons, Singapore Slingers dan Saigon Heat.
Enam pasukan kali ini digandingkan dengan Alab Pilipinas (Filipina), Hong Kong Eastern Long Lions (Hong Kong) dan Kaohsiung Truth (Taiwan).
Cabaran baru buat Thomas
Thomas baru sahaja berpindah ke Malaysia sejak September lalu dengan pasukan Dragons ketika Piala Merlion dan dalam pada itu, pasukan yang serba baru itu mengalami kekalahan yang agak teruk ketika kejohanan yang diadakan di Singapura.
Nasib tidak menyebelahi Dragons ketika mewakili ABL sebagai juara ke Fiba Asia Champions Cup di Chenzhou, China. Mereka kalah dalam setiap perlawanan yang diadakan.
Namun begitu, kekalahan itu menyuntik semangat buat pasukan Malaysia untuk musim ABL yang baru dengan barisan pemain tempatan yang baru dan kali ini, Dragons akan memulakan musim dengan tiga pemain import sahaja.
Skylar Spencer, 22 dan Marcus Melvin, 34 dari Amerika Syarikat manakala Freddie Goldstein Jr, 28 merupakan pemain kacukan Thai dan Amerika yang pernah beraksi selama dua musim dengan Hi Tech Bangkok City, melengkapkan barisan pemain untuk Dragons musim ini.
Antara pemain tempatan musim lalu yang kembali termasuk Loh Shee Fai, Ma Chee Kheun, Wong Yi Hou, Ivan Yeo, Choo Wei Hong dan Kuek Tian Yuan.
Pemain tempatan baru yang terpilih dalam barisan baru adalah Teo Kok Hou, Ting Chung Hong dan Syahrul Ridzuan Rosli yang baru berusia 18 tahun.
Ketika ditemui Malaysiakini semasa sesi latihan, Thomas berhasrat untuk mencuba sedaya upaya untuk menyaingi setiap pasukan walaupun agak sukar untuk musim baru ini.
"Kita akan kalahkan sesiapa sahaja tetapi kami perlu bermain dengan potensi yang terbaik. Pasukan Dragons perlu menjadi sebuah pasukan yang mengikut rentak, yakni rentak serangan dan juga disiplin dalam pertahanan.
"Dalam musim permulaan ini bertemu Slingers, saya merasakan ia lebih penting buat Dragons daripada risaukan tentang mereka," tambah Thomas.
Marcus Melvin mungkin beraksi dalam perlawanan pertama malam ini sekiranya kecederaan belakangnya semakin pulih, menurut ketua jurulatih itu. Dengan adanya Melvin sebagai pemain tengah, sokongan pertahanan akan menjadi lebih kuat bertemu Xavier Alexander dan Justin Howard dari Slingers.
Thomas juga merasakan pasukan Slingers lebih bersedia dan telah mengekalkan kebanyakan pemain import dan tempatan sejak dua musim yang lalu. Pasukan itu juga dianggap dalam tahap lebih tinggi dengan menjalani latihan dan pembangunan pemain yang berterusan.
"Mereka dalam kedudukan yang baik kerana para pemain sudah biasa dengan corak pemainan, komunikasi dan juga kerjasama yang lebih efisien berbanding kami. Tahap mereka (Slingers) memang jauh berbeza dengan barisan baru pemain Dragons," beliau mengulas lanjut.
Pemain lokal perlu tingkatkan usaha
Musim lalu, hampir 70 peratus aksi di gelanggang didominasi oleh pemain import dalam Malaysia Dragons.
Pada kali ini, jurulatih baru ini akan mengubah amalan tersebut untuk mengetengahkan potensi pemain tempatan setanding dengan yang lain.
"Saya amat kagum dengan prestasi Ma (Chee Kheun), (Wong) Yi Hou, Choo (Wei Hong) dan tak dilupakan 'anak emas' pasukan kebangsaan, Kuek Tian Yuan.
"Choo tidak pernah ketinggalan mana-mana latihan sejak bermulanya khidmat saya di sini. Melihat kemajuan pemain tempatan kini, saya merasakan mereka kini lebih baik daripada dahulu," ujar Thomas.
Thomas menambah, walaupun matlamat utama adalah untuk mempertahankan kejuaraan ABL, beliau juga berharap pasukan Malaysia juga dapat memenangi pingat dalam Sukan SEA.
Beliau akur bahawa perjalanan buat pasukan Malaysia untuk setanding dengan yang lain agak jauh tetapi ini merupakan titik permulaan yang baik.
Strategi Dragons acuan Chris Thomas
Malaysiakini sempat mengunjungi sesi latihan intensif sebelum musim baru ABL di Stadium MABA Kuala Lumpur.
Pemerhatian awal cara Chris Thomas memperhalusi strategi baru sememangnya agak berbeza berbanding jurulatih terdahulu, Ariel Vanguardia.
Dalam wawancara itu, Thomas juga menyifatkan gambaran keseluruhan corak permainan bola keranjang direka berdasarkan serangan.
"Sistem yang telah direka dalam bola keranjang, sama ada untuk NBA atau liga kolej, perlawanan dalam gelanggang berpaksikan serangan untuk memenangi mana-mana pihak lawan.
"Apabila pasukan itu melaksanakan taktik serangan dengan betul, yakni pergerakan pemain, ruangan (floor spacing), hantaran bola yang tepat, dan pergerakan pintasan, maka keberkesanan taktik serangan adalah lebih tinggi," kata Thomas.
Thomas juga memetik suatu contoh pemain Golden State Warriors dalam NBA, Draymond Green ketika ditanya mengenai situasi sekiranya Marcus Melvin tidak dapat beraksi.
"Apabila seseorang pemain tercedera, mana-mana pemain harus bersedia dan mengambil peluang untuk melengkapkan pasukan. Inilah Draymond Green. Beliau kini antara yang terbaik dalam NBA kerana mengambil cabaran itu sebagai suatu peluang keemasan bukannya kelemahan.
"Draymond Green takkan dikenali sekiranya David Lee tidak tercedera. Itulah hakikatnya dan Green sentiasa bersedia bila-bila masa," Thomas berkongsi pengalamannya ketika di Golden State Warriors.
Pemain veteran kebangsaan, Loh Shee Fai yang kini berusia 28 tahun kembali lagi dalam Dragons selepas pulih dari kecederaan lututnya tahun lalu. Bercakap dengan Malaysiakini, Shee Fai merasakan musim baru ini agak sukar dengan pasukan baru dari Taiwan, Hong Kong dan Filipina.
Walaupun dengan jurulatih baru, Loh berpendapat tidak jauh bezanya dari segi strategi dan corak permainan dengan jurulatih musim lalu. Beliau tidak merasakan kesukaran buat pemain tempatan untuk menyesuaikan diri.
Mengulas perlawanan pembukaan dengan Slingers, Loh sependapat dengan Thomas bahawa pemain tempatan berpeluang meningkatkan prestasi tempatan untuk Sukan SEA kelak.
"Walau dengan barisan pemain baru dan berdepan dengan pasukan lain dalam liga yang lebih kental, Dragons harus beraksi di tahap yang tinggi. Underdog atau tidak, kita perlu hadapinya," tambah Loh.
Seorang lagi pemain tempatan yang berasal dari Sarawak, Ma Chee Kheun juga kembali dalam Dragons untuk musim kedua. Beliau berpendapat bahawa jurulatih barunya sangat menitik beratkan strategi pertahanan pasukan.
"Harapan saya buat Dragons? Pertahankan kejuaraan untuk kali kedua buat Dragons. Untuk sasaran peribadi pula, saya berharap pasukan kami layak ke perlawanan akhir lagi untuk kali ketiga," kata Ma.
Nafas baru buat MABA, pingat untuk Sukan SEA
Dengan Kuala Lumpur sebagai hos bagi Sukan SEA tahun depan, kedua-dua pasukan bola keranjang kebangsaan harus menggandakan usaha mereka untuk mencapai impian pingat di podium.
Bulan demi bulan telah berlalu sejak berakhirnya musim ABL yang lalu, persatuan bola keranjang kebangsaan (MABA) juga telah melihat pelbagai perubahan drastik dari segi pemilihan jawatankuasa yang baru dengan perlantikan Datuk Lua Choon Hann sebagai presiden yang baru menggantikan Datuk Seri Tiong King Sing, ahli parlimen Bintulu dan duta khas ke Asia Timur.
Datuk Lua Choon Hann merupakan presiden persatuan bola keranjang negeri Kelantan. MABA pada kali ini juga telah memeterai kerjasama dengan Westports Malaysia Dragons dalam usaha sama membangunkan industri bola keranjang kebangsaan dan selaraskan sistem pembangunan dan latihan.
Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif Westports yang juga salah seorang pemilik Westports Malaysia Dragons, Ruben Emir Gnanalingam dilantik sebagai naib presiden MABA.
Perubahan ini membawa nafas yang baru buat industri bola keranjang kebangsaan yang sering dianggap sebagai sukan taraf kedua, mahupun ketiga berbanding sukan popular lain seperti bola sepak dan badminton.
Cabaran untuk podium semakin terasa dan meskipun Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur masih jauh pada Ogos tahun depan, kilauan pingat tetap dalam ingatan.
Malam ini, Dragons bakal berdepan seteru lamanya, Singapore Slingers dalam perlawanan pembukaan musim baru ABL pada pukul 8 malam di OCBC Arena. Walaupun Slingers mengekalkan barisan pemainnya sejak dua musim yang lalu, namun tidak mustahil buat pasukan Malaysia meranapkan lawan di tanah Temasek.
