Nazir dilantik lembaga pengarah QPR
Pernah menjadi peminat kelab Chelsea, manakala abangnya adalah penyokong tegar Manchester United.
Kini Datuk Seri Nazir Razak adalah seorang daripada anggota lembaga kelab Queen's Park Rangers (QPR).
Melalui kemas kini akaun Instagram, Nazir berkata pelantikan itu merupakan cabaran baru yang menarik dan akan melakukan yang terbaik demi kelab berkenaan.
Turut dimuat naik bersama status itu adalah keratan berita dari West London Sport.
Tokoh perbankan disegani itu sebelum ini dilaporkan pengagum kelab Chelsea.
Bagaimanapun bagi pemilik QPR, Tan Sri Tony Fernandes, ia bukan masalah.
"Akan menjadi bekas penyokong Chelsea tak lama lagi, justeru tak ada isu," tulisnya di bawah status Nazir.
QPR kembali bersaing di Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim 2011/12 selepas 'hilang' dari saingan utama selama 15 tahun.
Bagaimanapun mereka tersingkir kembali ke liga kedua selepas dua musim bersaing di EPL.
Sementara itu mStar Online melaporkan seorang lagi rakyat Malaysia yang dilantik menyertai Nazir ialah Datuk Seri Johan Raslan yang juga bekas pengerusi eksekutif PricewaterhouseCoopers Malaysia.
Kedua-dua mereka menyertai Fernandes, Amit Bhatia, Ruben Gnanalingam dan Datuk Kamarudin Meranun dalam lembaga QPR Holdings Ltd.

