Bekas jurulatih bangga, 'hasut' undi Faiz Subri
Bekas jurulatih bola sepak Pulau Pinang Jacksen Ferreira Tiago menyatakan sokongan padu buat bekas pemainnya Mohd Faiz Subri yang disenarai sebagai calon penerima Anugerah Puskas Fifa 2016.
Jurulatih asal Brazil itu berkata, dia turut 'menghasut' ahli keluarga dan kawan-kawan untuk mengundi gol jaringan Faiz agar disenarai pendek sebagai tiga calon akhir anugerah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa itu.
Berada di Bali, Indonesia ketika dihubungi Malaysiakini Sukan, Tiago turut melahirkan kebanggaannya dengan kejayaan pemain berusia 29 tahun itu.
"Sebaik nama Faiz dicalonkan, saya sempat menghubunginya untuk mengucapkan tahniah.
“Saya sudah mengundi Faiz berulang kali dan saya yakin dia mempunyai peluang besar untuk muncul sebagai penerima anugerah Puskas Fifa," katanya.
Gol jaringan Faiz itu dilakukan Pulau Pinang ketika menentang Pahang pada aksi Liga Super 16 Februari lalu. Ketika itu juga, skuad Harimau Kumbang masih di bawah bimbingan Tiago.
Bagaimanapun khidmat bekas jurulatih kebangsaan Indonesia bersama Pulau Pinang tidak bertahan lama apabila dipecat Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Mei lalu selepas kemerosotan prestasi pasukan itu.
Tiago pada mulanya cemerlang membawa Pulau Pinang ke saingan Liga Super selepas muncul naib juara Liga Perdana pada 2015.
Tambah Tiago, dia berharap dengan sokongan rakyat Malaysia Faiz akan menjulang anugerah yang akan menjadi kebanggaan negara ini khususnya negeri Pulau Pinang.
"Dia pemain saya (ketika itu) dan kejayaannya satu detik indah. Saya beri penghormatan setinggi-tinggi kepadanya.
"Dan kita bukan sekadar berdoa, malah mengajak orang ramai supaya turut serta mengundi Faiz," jelasnya.
Proses pengundian akan tamat pada 2 Disember ini. Orang ramai boleh mengundi Faiz di pautan ini.

