Pengurus Manchester United (Man U) Jose Mourinho sekali lagi didakwa Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) selepas diarah keluar padang ketika pasukannya seri 1-1 dengan West Ham, Ahad lalu.

Kecewa dengan keputusan pengadil terhadap pemainnya, jurulatih dari Portugal itu memberi reaksi dengan menendang botol air di tepi padang pada minit ke-27 apabila pengadil - Jonathan Moss melayangkan kad kuning kepada Paul Pogba.

Susulan insiden itu, Moss mengarahkan Mourinho menonton baki perlawanan dari bilik rahsia di dalam stadium.

FA dalam kenyataan hari ini menjelaskan pertuduhan terhadap Mourinho berhubung kelakuannya yang tidak wajar.

"Dia mempunyai masa sehingga pukul 6 petang pada 1 Disember 2016 untuk bertindak balas terhadap pertuduhan itu," kata FA.

Dakwaan terhadap Mourinho itu merupakan kali ketiga dibuat FA dalam tempoh enam minggu. Oktober lalu dia digantung satu perlawanan dan didenda £8,000 selepas 'menyerang' pengadil Mark Clattenburg.

Mourinho diarah duduk bersama penonton pada separuh masa kedua menentang Burnley dalam aksi di Old Trafford selepas didapati mengeluarkan bahasa tidak sopan terhadap pengadil Clattenburg.

Selepas itu, dia didenda £50,000 pada awal bulan ini kerana kritikan keras terhadap Anthony Taylor sebagai pengadil pada perlawanan Man U menentang Liverpool.

Kali ini, FA dipercayai akan mengenakan hukuman lebih berat selepas Mourinho diberi amaran supaya menjaga tingkah lakunnya susulan insiden sebelum ini.

Skuad The Red Devil kini berada pada kedudukan keenam Liga Perdana Inggeris dengan mengumpul 20 mata ketinggalan 11 mata dari pendahulu liga iaitu Chelsea.