Skuad ragbi remaja optimis untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Top Divisyen Kesatuan Ragbi Asia (Arfu) 2016 Bawah 19 Tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berlangsung dari 11 hingga 17 Dis ini.

Presiden Kelab Ragbi Cobra, Tommy Pereira berkata misi utama skuad negara adalah untuk melayakkan diri ke Kejohanan Ragbi Dunia 2017 Bawah 20 tahun.

"Lebih 300 pemain telah mewakili 10 pasukan yang bertanding dalam liga Bawah 19 Tahun Kebangsaan dan hanya 25 pemain dipilih untuk mewakili pasukan negara ke kejohanan itu.

"Saya yakin 25 pemain ini adalah yang terbaik dan sudah dipersiapkan dari segi mental dan fizikal untuk membawa cabaran Malaysia ke kejohanan itu," katanya pada sidang media majlis pengenalan pemain di Kelab Ragbi Cobra di Petaling Jaya,
hari ini.

Naib Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) Raimi Mohd Yusof berkata meskipun bakal berdepan saingan sengit daripada negara lain namun beliau optimis pasukan negara mampu mengharunginya.

"Kita sedar pasukan seperti Hong Kong dan Sri Lanka mempunyai fizikal yang jauh lebih besar daripada kita tetapi saya tidak melihat itu sebagai satu halangan.

"Saya percaya para jurulatih negara sudah mempunyai strategi tersendiri untuk mengatasi pasukan yang lebih besar itu," katanya.

Selain Malaysia, tiga lagi negara yang bakal berentap pada kejohanan itu ialah Hong Kong, Taiwan dan Sri Lanka.

Pasukan negara dijadual menentang Sri Lanka pada 11 Dis dan Taiwan pada 14 Dis sebelum bertemu Hong Kong dalam perlawanan terakhir pada 17 Dis.

-Bernama