Sebuah kapal terbang membawa sebuah kelab bola sepak Brazil terhempas di Cerro Gordo berhampiran bandar La Union di Colombia hari ini.

Bagaimanapun laporan media menyatakan daripada 72 penumpang dan sembilan anak kapal yang berada dalam pesawat udara itu, 25 disahkan terbunuh dan enam selamat.

Nasib mangsa lain belum diketahui.

Memetik kenyataan pegawai lapangan terbang, BBC melaporkan pesawat udara sewa khas itu berlepas dari Bolivia membawa rombongan pasukan kelab Chapecoense sebelum tengah malam (waktu tempatan).

Pasukan itu dijadual beraksi di atas padang dalam perlawanan akhir pertama Copa Sudamericana menentang kelab Atletico Nacional esok.

Sementara itu, Persekutuan Bola Sepak Amerika Selatan (Conmebol) dalam kenyataannya menggantung semua aktiviti perlawanan bola sepak susulan insiden tersebut.

"Conmebol sangat berdukacita atas apa yang berlaku. Semua aktiviti dihentikan sementara sehingga dimaklumkan," kata presidennya, Alejandro Dominguez.

Chapecoense dalam kenyataan ringkas enggan memberi penjelasan terperinci untuk memberi masa kepada pihak keselamatan menyiasat kemalangan tersebut.

"Semoga tuhan bersama pemain, pegawai, wartawan dan penumpang lain yang mengikuti rombongan kami," kata kenyataan kelab itu.

Chapecoense kini berada di kedudukan kesembilan Serie A Brazil dengan 52 mata daripada 37 perlawanan.