Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pemain Korea Selatan, Uzbekistan di radar KFA

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) masih mempertimbangkan dua pemain import dari Uzbekistan dan Korea Selatan untuk memperkuatkan pasukan itu bagi saingan Liga Malaysia musim depan.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata setakat ini, KFA belum membuat keputusan berhubung dua pemain import bagi mengisi kekosongan terutama di bahagian serangan dan tengah pasukan Kedah.

"Setakat ini, Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva bersetuju bersama pasukan kita, namun kita memerlukan dua lagi pemain import bagi menggantikan Thiago Augusto Fernandes dan Shiane Smeltz yang tidak lagi bersama Kedah pada musim depan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Buku Kesukarelawanan di Perpustakaan Awam Kedah di Alor Setar, hari ini.

KFA sebelum ini, mengikat kontrak dua pemain baharu iaitu Mohd Fitri Omar dari Pulau Pinang dan Akram Mahinan dari JDT II.

Dalam pada itu, Kongres KFA yang akan berlangsung di Wisma Darul Aman, esok, akan membincangkan beberapa perkara berhubung KFA yang akan dihadiri 32 kelab gabungan KFA serta Anggota Jawatankuasa Eksekutif KFA.

"Kongres ini melibatkan pembentangan bajet, kelulusan bajet dan perancangan Jawatankuasa Eksekutif KFA untuk pasukan Kedah dan ada beberapa pengumuman terbaharu berhubung pembangunan pasukan," kata Aminuddin.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS