Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas muncul sebagai kuasa bola sepak baru tempatan antara musim 2010 hingga 2014, skuad Kelantan dilihat berjaya menjaga reputasi mereka sebagai pencabar utama di pentas liga Malaysia.

Sehingga musim berakhir 2016, skuad The Red Warriors masih menjadi pencabar walaupun terpaksa 'mandi bunga' dan mengalami pertukaran jurulatih.

Musim 2017 dilihat bakal menjadi ujian besar pasukan dari Pantai Timur itu. Berikut beberapa faktor yang dilihat perlu ditangani Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebagai cabaran musim 2017.

Penajaan

Kafa dilaporkan masih bergelut dengan isu kewangan susulan belum mempunyai penaja untuk membantu kantung dana mereka.

Jika sudah ada, pengurusan Kelantan perlu belajar dari pengalaman musim lalu. Mereka perlu memilih pihak yang betul-betul komited untuk membantu pasukan.

Sama ada ia melibatkan syarikat kosmetik, perabot atau bas ekspres sekali pun apa yang lebih penting kontrak penajaan perlu dibuat dengan 'jiwa besar'demi kelangsungan bola sepak.

Penyokong setia atau penyokong lalang skuad Kijang itu pastinya tidak mahu lagi mendapat khabar berunsur kebimbangan. Isu tunggakan gaji pemain, gaji bekas pemain dan sebagainya perlu ditangani dengan baik.

Jika selama ini banyak perkara berkait dengan kewangan diuruskan bekas presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa. Kali ini di bahu barisan exco persatuan itu menjadi sandaran peminat mereka.

Teori 'di mana ada wang, di situ ada jalan' semakin dekat dalam era menuju kematangan bola sepak tanah air. Sifir kewangan dan pengurusan yang baik akan hasilkan kualiti yang baik.

Identiti

Ya, identiti menjadi nadi dalam mana-mana pasukan bola sepak sebagai pegangan tradisi melalui nama gelaran, warna pilihan pasukan dan penampilan jersi.

Selepas ditaja syarikat kecantikan Vida Beauty Sdn Bhd, skuad Kelantan digelar skuad 'Pamoga Qu Puteh TRW' sebagai mengikut syarat penajaan.

Namun, penajaan itu sudah berakhir buat masa sekarang. Persoalannya masihkah jersi berwarna merah jambu akan menjadi pilihan bagi musim depan?

Atau Kafa sekali lagi akan mengikut kata penaja baru lagi, sekali gus melawan kehendak penyokong setia mereka yang lebih memilih untuk mengekalkan warna merah sebagai warna tradisi?

Ia mungkin hal remeh tapi impaknya besar, misalnya berapa banyak jersi musim lalu kini sedang dilelong dengan harga terlalu murah jika dibandingkan dengan harga asalnya.

Pemain muda

Jurulatih Zahasmi Ismail sedang bereksperimen untuk menyerap tenaga pemain muda ke skuad utama Kelantan.

Sama ada Kelantan akan terus memberi saingan hebat di kancah liga atau sebaliknya juga ditentukan melalui kredibiliti pemain muda yang bakal diturunkan.

Mampukah Zahasmi menampilkan jentera muda seperti kejayaan Tan Cheng Hoe mendidik pemain-pemain muda Kedah?

Formula gandingan pemain muda dan senior yang ada seperti Norfarhan Mohamad, Indra Putra Mahyuddin, Badri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat dan Daudsu Jamaluddin tidak mustahil untuk meletakkan Kelantan sebagai pesaing sengit.

Sebahagian pemain Kelantan adalah mereka yang cukup berpengalaman dalam arena bola sepak negara. Tidak ada sebab untuk mereka tidak digeruni mana-mana pasukan lawan.

Ditambah dengan pemain import, kalau kualiti mereka baik pastinya menjadi bonus untuk pasukan.

Jika tidak, mungkin bermandi bunga lagi?

Lihat Komen
ADS