Pengemudi Chelsea, Antonio Conte mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mempedulikan kedudukan semasa pasukan itu di carta EPL musim ini.

Sebaliknya pengurus dari Itali itu mahu Eden Hazard dan rakan-rakannya hanya memberikan sepenuh fokus kepada setiap perlawanan yang dihadapi mereka.

Skuad The Blues kini semakin kukuh di tangga teratas selepas menang 1-0 ke atas Sunderland pada aksi ke-16, awal pagi tadi.

Mereka selesa dengan kutipan 40 mata berbanding pesaing terdekat iaitu Liverpool dengan perbezaan enam mata.

Jika dibandingkan prestasi musim lalu, dengan jumlah perlawanan yang sama mereka hanya mengutip 15 mata sehingga terperuk di kedudukan ke-16 ketika itu.

Tidak mahu anak didiknya terbuai dengan posisi di carta liga, Conte lebih berharap mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya bagi menghadapi tiga perlawanan menjelang Krismas dan tahun baru.

"Saya lebih suka pemain tidak melihat kedudukan pasukan di carta EPL.

"Kami harus fokus untuk menghadapi tiga perlawanan akan datang. Chelsea wajib mempersiapkan diri dengan baik dan merayakan Krismas dengan indah," katanya seperti dilaporkan BBC.

Menjelang 2017, Chelsea akan bertandang ke gelanggang Crystal Palace dan sebelum menerima kunjungan Bournemouth serta berdepan Stoke City, awal Januari depan.