Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Liga Malaysia 2017: Kelantan putuskan tarik diri
Diterbitkan:  Dec 16, 2016 5:38 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk menarik diri dari saingan Liga Malaysia 2017 susulan ketidak mampuan untuk menyediakan dana mencukupi untuk pengurusan skuad Kelantan.

Setiausaha Kafa, Datuk Ismail Md Noor dilaporkan berkata, mesyuarat khas exco Kafa yang diadakan kelmarin membuat keputusan Kelantan tidak lagi mampu dan terpaksa menarik diri pada musim depan.

Namun, katanya, keputusan akhir akan dibuat melalui kongres luar biasa yang akan diadakan pada 29 Disember nanti.

"Keputusan untuk menarik diri dibuat selepas mendengar taklimat terperinci dari bendahari Kafa kerana sehingga kini kita masih gagal mendapat tajaan mana-mana pihak.

"Usaha berterusan sudah dilakukan oleh Kafa bagi mencari dana kewangan setakat ini masih gagal dan menemui jalan buntu. Kita hanya mampu meneruskan Liga M sekiranya ada penyelamat hadir pada saat-saat terakhir," katanya, memetik laporan BH Online, hari ini.

Ismail berkata, Kafa memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk menubuhkan pasukan dan RM12 juta lagi bagi kos pembiayaan mengurus pasukan sepanjang tahun.

"Ini ini akan dibahaskan dalam kongres luar biasa dalam menentukan penyertaan Kelantan pada Liga M," katanya.

Terdahulu, Kafa berdepan masalah apabila belum mempunyai pihak untuk menjadi penaja utama pasukan itu selepas pengunduran syarikat Vida Beauty Sdn Bhd.

Masalah berganda menimpa mereka selepas Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas presiden Kafa melepaskan jawatannya.

Lihat Komen
ADS