Paling Popular
Terkini

Kerajaan Kelantan perlu prihatin terhadap nasib malang menimpa Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang dibelenggu masalah kewangan, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata sudah tiba masanya kerajaan negeri memainkan peranan mereka membantu pasukan itu selepas anggota Parlimen Ketereh yang juga bekas Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa meletakkan asas yang kukuh terhadap persatuan itu sebelum ini.

"Sekian lama Tan Sri Annuar Musa memimpin Kafa dan beliau dah memainkan peranan dengan cemerlang selama ini. Maka apabila sudah terbina (tapak) dengan begitu baik, sudah tiba masanya kerajaan negeri mengambil alih kerana asasnya sudah ada, amat kukuh sekali.

"Jadi kita rasa amat wajar dan minta kerajaan negeri membantu Kafa dan ini harapan yang rakyat Kelantan nak supaya sukan bola sepak di negeri ini terus berjaya dan tiada pihak lain lebih mampu (memainkan peranan) selain kerajaan negeri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kerjasama Strategik Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bersama Pemimpin Tempatan Persekutuan Kelantan Kota Bharu, hari ini.

Program itu yang dihadiri kira-kira 200 pemimpin tempatan turut disertai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan timbalannya Datuk Ir Hamim Samuri.

Akhbar sebelum ini melaporkan Kafa memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu bagi musim depan dan difahamkan kantung persatuan itu ketika ini hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.

Keputusan terakhir sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai liga Malaysia (Liga M) untuk musim depan akan dibuat menerusi kongres luar biasa Kafa yang dijadualkan berlangsung pada 29 Disember ini.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Siber Bolasepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) Mahizi Mahmood berkata kerajaan negeri perlu memperincikan bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada Kafa jika mereka ingin melihat pasukan itu terus beraksi dalam saingan liga Malaysia musim depan.

Beliau turut menaruh harapan terhadap penglibatan tokoh korporat dari negeri ini untuk sama-sama membantu Kafa mengumpulkan dana bagi menyertai saingan liga Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS