Kejayaan beregu lelaki negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menjulang kejuaraan Siri Super Akhir Dunia di Dubai semalam, melengkapkan prestasi cemerlang mereka selaku beregu nombor satu dunia, musim ini.

V Shem dan Wee Kiong buat pertama kalinya meraih gelaran pada Siri Super Akhir Dunia selepas mengalahkan beregu dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda di pentas akhir.

Selepas bergelar beregu nombor satu dunia pada 10 Nov lepas, keyakinan diri mereka di gelanggang mula terserlah selepas meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos lepas.

Tidak dinafikan bukan mudah bagi beregu nombor satu dunia itu untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam sesuatu kejohanan kerana perlu mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran.

Selepas Sukan Olimpik, mereka hanya menjuarai Terbuka Denmark, dan selepas itu sekadar menamatkan saingan separuh akhir pada Terbuka Korea, suku akhir (Terbuka Hong Kong), pusingan kedua (Terbuka Jepun) dan seawal pusingan pertama di Terbuka Perancis serta Terbuka China.

Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan berkata anak buahnya itu tidak pernah menyerah kalah biarpun menghadapi prestasi naik-turun sejak mula digandingkan pada 2014.

Pada tahun yang sama, V Shem-Wee Kiong menunjukkan keserasian dengan merangkul pingat emas pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

"Saya sangat gembira dengan semua kejayaan mereka sepanjang tahun ini. Tahun ini adalah cabaran hebat buat V Shem dan Wee Kiong, sudah tentu saya bangga dengan mereka.

"Saya berharap kejayaan mereka tahun ini adalah permulaan baik untuk tahun depan. Masih jauh lagi perjalanan. Mereka juga masih muda dan saya percaya mereka berdua mampu meraih lebih banyak kemenangan tahun depan," kata Jeremy ketika dihubungi Bernama.

Turut berbangga dengan pencapaian itu adalah Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen yang menyifatkan tahun ini adalah prestasi paling cemerlang bagi V Shem dan Wee Kiong.

"Tahun yang hebat buat V Shem dan Wee Kiong, dan kita bakal melihat banyak lagi kejayaan daripada mereka pada 2017," kata Frost.

-Bernama