Dengan rasa berat hati, penyerang Liverpool Sadio Mane terpaksa meninggalkan Anfield pada awal tahun depan. Namun, dia yakin skuad The Kop mampu mengekalkan saingan walaupun tanpa kelibatnya.

Meskipun baru semusim bersama Liverpool, Mane sudah membuktikan dirinya seorang pemain penting yang menjadi sandaran kelab bimbingan Jurgen Klopp itu.

Pemain sayap 24 tahun itu baru sahaja tampil sebagai hero pasukan selepas menjaringkan gol tunggal untuk kemenangan ke atas Everton, Isnin lalu.

Ketika Liverpool dilihat ghairah berjuang, Mane harus pulang untuk membela negara sempena Kejohanan Piala Afrika bermula 14 januari hingga 5 Februari 2017.

Ketiadaan Mane di Anfield sedikit sebanyak menjadi kebimbangan prestasi kelab yang kini berada pada kedudukan kedua liga.

Bagaimanapun, Mane yakin sekembalinya rakan sepasukan iaitu Sturridge dan Philippe Coutinho dari cedera akan meringankan beban ketiadannya nanti.

"Bukan mudah bagi saya untuk pergi demi membela Senegal bulan depan. Saya tetap mahu bermain dan membantu rakan sepasukan, tapi saya yakin mereka memahami. Kerana ini negara dan mimpi saya," kata Mane seperti dilaporkan Liverpool Echo.

"Liverpool akan tetap sama tanpa saya, bahkan mampu lebih baik. Sturridge sudah kembali, Coutinho dan Joel Matip juga akan kembali," ujar anak seorang imam dari Senegal itu.

Jaringan ke gawang Everton merupakan gol kelapan Mane musim ini. Kemenangan tersebut meletakkan Liverpool berbeza enam mata berbanding Chelsea di tangga teratas liga.