Kuantan Rangers yakin ke LFK 2017
Pendatang baru dalam arena futsal tempatan, Kuantan Rangers FC, yakin dapat merebut satu daripada dua slot yang ditawarkan untuk beraksi di Liga Futsal Kebangsaan 2017.
Kuantan Rangers bersama sembilan pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan LFK 2017 selama tiga hari sehingga 23 Disember di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.
Majlis undian pusingan kelayakan yang berlangsung semalam menyaksikan pasukan bimbingan bekas pemain kebangsaan, Mohamad Faizul Abdul Gaffar itu diundi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tiga wakil dari utara iaitu Perlis, Pulau Pinang, dan Pulau Pinang MBPP dalam Kumpulan B.
Tiga wakil Kuala Lumpur - KL Petaling Putra, KL City FC dan KL Imigresen FC - bersama-sama dua pasukan dari Borneo, Sabah dan Sarawak melengkapkan saingan Kumpulan A.
Format awal menetapkan pasukan yang menjuarai peringkat kumpulan masing-masing akan secara automatiknya layak ke LFK 2017, namun perubahan saat akhir menyaksikan dua pasukan teratas setiap kumpulan perlu terlebih dahulu beraksi di separuh akhir.
Dua finalis pusingan kelayakan kemudian akan menyambar tiket beraksi di LFK 2017, menyertai lapan pasukan yang sudah sedia layak iaitu Felda United FC, Terengganu T-Team, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Selangor, Pahang dan Sabah.
Bagi Faizul, walaupun pasukannya baru dibentuk kira-kira sebulan lalu, mereka optimis Kuantan Rangers mempunyai ramuan yang betul untuk mengungguli pusingan kelayakan.
"Kalau tengok pada undian, ia agak seimbang tetapi saya percaya kita ada kelebihan. Apa pun kita tidak pandang rendah pada mana-mana lawan, masing-masing ada kekuatan tersendiri.
"Pulau Pinang dan MBPP contohnya, walaupun kita belum pernah tengok mereka main, tapi mereka juga ada pemain berpengalaman yang pernah main di LFK.
"Saya yakin dengan pemain saya, kita juga telah membawa masuk lima pemain senior untuk perkuatkan pasukan. Semua pemain komited dan cepat belajar, cepat serasi ketika latihan.
"Harapan memang agak tinggi, dan saya mahu semua pemain terjemahkan kualiti sebenar mereka untuk tepati harapan tersebut," tambah jurulatih berusia 36 tahun itu.
Untuk makluman, lebih 80 peratus pemain Kuantan Rangers FC adalah anak jati Pahang dengan adunan pemain muda dan berpengalaman.

