Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Nik Abduh harap kerajaan Kelantan bantu Kafa
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 4:43 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Isu yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan nampaknya semakin menarik perhatian banyak pihak dan terbaru Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz turut bersuara.

Anggota Parlimen Pasir Mas itu berpendapat, kerajaan negeri perlu tampil membantu Kafa bagi membolehkan pasukan Kelantan bersaing dalam Liga Malaysia musim hadapan.

"Bola sepak di Kelantan adalah sukan kegemaran rakyat kerana dapat menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kedudukan, peringkat umur serta fahaman politik.

"Saya amat dukacita dengan apa yang berlaku dan pastinya bagi rakyat Kelantan, mereka turut dalam kebimbangan.

"Saya mengharapkan pihak-pihak yang bertanggungjawab terutama kerajaan negeri dapat menyelesaikan isu ini dengan baik untuk selamatkan sukan yang menjadi penyatuan rakyat di negeri ini," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Terdahulu, keputusan Kafa menarik diri daripada saingan Liga Malaysia 2017 turut menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Nik Abduh berkata, sebelum ini dia menyampaikan beberapa pandangan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub mengenai perkara itu.

"Walaupun menteri besar belum bersedia menjadi presiden Kafa, tetapi diharapkan kerajaan Kelantan dapat membantu dari segi menyalurkan bantuan kewangan," katanya.

Ahmad sebelum ini dilaporkan sudah menyatakan kesediaannya untuk bertemu dan berbincang dengan barisan kepimpinan Kafa mengenai masalah yang sedang dihadapi persatuan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai usaha yang dilancarkan Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBBSK), Nik Mohamad Abduh berkata ia adalah salah satu usaha terbaik bagi menyelamatkan masa depan The Red Warriors.

Katanya, inisiatif yang diketuai Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dilihat sebagai penggerak yang jelas kepada rakyat di negeri itu untuk sama-sama membantu badan induk bola sepak Kelantan.

"Itu menunjukkan kesungguhan dan tanda cinta kepada pasukan, walaupun dengan menggalakkan sumbangan RM10 setiap seorang namun jumlah itu amat bernilai buat The Red Warriors untuk kekal bersaing dalam saingan Liga M musim depan," katanya.

Lihat Komen
ADS