Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Nik Abduh ucap tahniah 10 kali lipat pada Kafa
Diterbitkan:  Dec 21, 2016 6:35 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Di mata Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz, kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ketika ini tidak lebih daripada sandiwara.

Sambil mengucapkan terima kasih "10 kali lipat" anak bekas menteri besar Kelantan itu juga berkata Kafa boleh dianggap sebagai "sebuah biro Umno Kelantan".

Menulis di Facebooknya Nik Abduh sebelum itu menyatakan rasa 'gembira' selepas isu yang melanda bola sepak Kelantan diberi perhatian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagi anggota parlimen Pasir Mas itu, semua perkembangan yang berlaku ke atas Kafa adalah "sandiwara hujung 2016 yang paling berjaya".

Difahamkan, perhatian Najib yang dimaksudkan Nik Abduh itu ialah arahan perdana menteri supaya Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa terus kekal menerajui Kafa.

Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh meletak jawatan sebagai presiden pada bulan lalu.

Kafa juga menyatakan pasukan Kelantan tidak lagi menyertai liga Malaysia pada tahun depan.

Bagaimanapun keputusan rasmi mengenainya hanya akan dibuat melalui kongres luar biasa Kafa pada 29 Disember ini.

Antara kesukaran dihadapi Kafa ialah berkaitan penajaan.

Kata Nik Abduh beliau ada berjumpa dengan Annuar di parlimen dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob di Kota Bharu bagi membincangkan nasib pasukan The Red Warriors itu.

"Saya makan pagi bersama Datuk Seri Afandi Hamzah (timbalan presiden Kafa).

"Semuanya kerana prihatin dan gusar saya terhadap perkembangan Kafa dan pasukan bola sepak Kelantan. Saya cuba mengail sepat dan puyu... " katanya secara berkias.

Terdahulu, Nik Abduh menyatakan pandangannya supaya kerajaan negeri perlu tampil membantu Kafa bagi membolehkan pasukan Kelantan kekal bersaing dalam liga Malaysia musim depan.

Selain berpolitik Nik Abduh terkenal sebagai peminat bola sepak, termasuk di luar negara.

Pada Disember 2014 beliau pernah menulis dan membangkitkan isu pembangunan bola sepak negara.

Lihat Komen
ADS